Penemuan bakteria Salmonella, bekalan telur pengeluar lain masih cukup | DagangNews Skip to main content

Penemuan bakteria Salmonella, bekalan telur pengeluar lain masih cukup

Bekalan telur

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac. - Bekalan telur daripada pembekal lain dilihat masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna buat masa ini.

 

Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, sekiranya terdapat arahan penarikan balik pasaran telur domestik, pihaknya akan mendapatkan kerjasama industri untuk menampung keperluan di kawasan yang terjejas.

 

"Berdasarkan pemantauan yang dijalankan, didapati aktiviti penarikan semula telur di premis-premis terlibat telah dilaksanakan secara sukarela. 

 

"Hasil pemeriksaan juga mendapati bekalan telur daripada pembekal yang lain adalah cukup untuk menampung keperluan pengguna buat masa ini. KPDNHEP juga bekerjasama rapat dengan MAFI, KKM dan DVS.

 

"Sekiranya terdapat arahan penarikan balik bagi pasaran telur domestik, KPDNHEP akan mendapatkan kerjasama industri untuk menampung keperluan dan permintaan kawasan-kawasan yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan dan pemantauan segera terhadap bekalan telur ayam di seluruh negara.

 

Baru-baru ini, tular isu berkaitan penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) pada konsainan telur eksport oleh pihak berkuasa SFA Singapura.

 

Susulan itu, Singapura mengarahkan penarikan semula telur dari pasaran yang dibekalkan oleh syarikat pengeluar di Malaysia.

 

Bagi rekod, keperluan telur sebulan adalah sebanyak 900 juta biji berbanding pengeluaran telur sebanyak 1020 juta biji sebulan.

 

Tambah beliau, pengguna dinasihatkan tidak perlu panik dengan situasi tersebut dan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berwajib. - DagangNews.com