Penemuan kawasan gas baharu bakal lonjak pendapatan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Penemuan kawasan gas baharu bakal lonjak pendapatan Sarawak

Sarawak

KUALA LUMPUR 23 Mac. - Sarawak dilihat bakal meraih pendapatan yang lebih tinggi susulan penemuan kawasan gas baharu di perairan negeri berkenaan baru-baru ini.

 

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penemuan tersebut berkemungkinan melibatkan dua telaga minyak baharu.

 

"Terdapat kemungkinan penemuan dua telaga minyak baharu (selain Luconia Tengah dan Delta Baram),” katanya kepada pemberita seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Sungai Batang Lupar, Sarawak hari ini.

 

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg.

 

Beliau mendapat makluman berkaitan perkara tersebut ketika membuat kunjungan hormat Pengerusi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Tauk Tengku Aziz, semalam.

 

Katanya, pengumuman lanjut berkaitan penemuan tersebut akan dibuat oleh pihak Petronas.

 

“Berdasarkan Perjanjian Penyelesaian Komersial kami (dimeterai antara Kerajaan Sarawak dan Petronas), kami (kerajaan negeri) akan memainkan peranan untuk mengembangkan wilayah-wilayah (yang baharu ditemukan) melalui Petros (anak syarikat milik kerajaan Sarawak)," katanya lagi.

 

Dalam ucapan di majlis tersebut, beliau memberitahu, pendapatan Sarawak terus bertambah berbilion ringgit sejak beliau menjadi Ketua Menteri, sekali gus membolehkan negeri itu terus membangun dan berupaya mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Ujarnya, selain menjadi negeri maju, taraf hidup rakyat Sarawak juga akan bertambah baik apabila akses ekonomi dibuka secara global dengan adanya aksesibiliti pengangkutan jalan raya dan internet menjelang 2030.

 

Ia turut dipacu oleh pembinaan Jambatan Batang Lupar yang akan menjadi jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia yang dibina dengan kos RM848 juta. 

 

Pembinaan tersebut telah bermula pada Februari lalu dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun. - DagangNews.com