Penerima vaksin Pfizer, Astrazeneca terima dos penggalak selepas 3 bulan terima dos kedua | DagangNews Skip to main content

Penerima vaksin Pfizer, Astrazeneca terima dos penggalak selepas 3 bulan terima dos kedua

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Penerima vaksin Pfizer dan Astrazeneca memerlukan tempoh tiga bulan selepas menerima dos kedua sebelum diberikan dos penggalak.

 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang layak akan mula menerima dos penggalak masing-masing pada Januari dan Februari ini berdasarkan beberapa keutamaan termasuk mengikut turutan umur dan status kesihatan.

 

"Keutamaan pemberian dos penggalak kepada Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin utama.

 

"Pemberian dos penggalak ini dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas dan seterusnya 18 tahun ke atas.

 

"Kita akan buka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan klinik kesihatan swasta bagi pemberian dos penggalak ini sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini," katanya.

 

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengutamakan vaksin Pfizer dan Astrazaneca bagi pemberian dos penggalak dan Sinovac hanya akan diberikan sekiranya dinasihatkan oleh doktor.

 

"Seandainya faktor kesihatan atau ada apa-apa keadaan yang tidak mengizinkan mereka mengambil vaksin Pfizer atau Astrazaneca, baru kita beralih kepada Sinovac," katanya.

 

Beliau berkata, hasil dapatan yang dijalankan institut kesihatan negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 berkurangan dengan masa.

 

"Data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi, daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

 

"Selain itu, bukti kukuh yang terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak COVID-19 mungkin meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron," katanya. - DagangNews.com