Penerimaan 12.8 juta dos vaksin Pfizer dijangka suku pertama 2021 - MOSTI | DagangNews Skip to main content

Penerimaan 12.8 juta dos vaksin Pfizer dijangka suku pertama 2021 - MOSTI

Vaksin Pfizer

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. -  Sebanyak 12.8 juta dos vaksin Pfizer dijangka akan diterima pada suku pertama tahun 2021.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu adalah untuk menampung keperluan imunisasi 20% atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

 

"Bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer ini dijangka akan mula diterima pada suku pertama tahun 2021 merangkumi 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.
 

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

 

"Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah ditubuhkan dengan objektif untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna," jelasnya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Guan Eng membangkitkan persoalan mengapa vaksin Pfizer dipilih dan bukan vaksin daripada syarikat lain termasuk di Amerika Syarikat, China, Russia serta perbandingan kos serta keberkesanan vaksin-vaksin tersebut.

 

Soalan tersebut turut meliputi kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer khususnya tempoh immuniti.

 

Mengulas berkaitan sebab pemilihan vaksin berkenaan, Khairy memberitahu, pemilihan vaksin tersebut berdasarkan kepada laporan interim ujian klinikal dan ianya telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 yang menunjukkan bahawa vaksin berkenaan didapati mempunyai tahap keberkesanan 95% dalam mencegah jangkitan COVID-19.

 

Pihak kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

 

Vaksin tersebut juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Saudi Arabia, Mexico dan Singapura. 

 

 

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng 

 

Tambahnya, keputusan penggunaan vaksin tersebut di Malaysia bagaimanapun masih tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan. 

 

Proses berkenaan telah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA. 

 

Ujar beliau lagi, selain vaksin COVID-19 daripada Pfizer, Malaysia juga telah menyertai fasiliti COVAX yang menjamin akses bekalan vaksin sebanyak 10% populasi negara. 

 

"Jawatankuasa JKJAV ketika ini sedang mempertimbangkan calon-calon vaksin lain yang berada di fasa 3 ujian klinikal untuk digunakan di Malaysia.

 

"Pengumuman mengenai ini  dan juga senarai keutamaan siapa yang akan menerima vaksin dahulu akan diumumkan dalam masa yang terdekat," katanya lagi. - DagangNews.com