Pengambilalihan 50% ekuiti Retro Highland menguntungkan MMC | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan 50% ekuiti Retro Highland menguntungkan MMC

MMC Corporation Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac. - Cadangan pengambilalihan 50% ekuiti syarikat pemaju hartanah, Retro Highland Sdn Bhd (Retro Highland) dilihat memberi kelebihan dan keuntungan kepada MMC Corporation Berhad (MMC).

 

MIDF Research berkata, pengambilalihan tersebut memberi keuntungan kepada pihak pengurusan MMC dalam mengukuhkan buku pesanan bagi tahun kewangan 2023.

 

"Kami melihat pengambilalihan Retro Highlands agak menguntungkan kerana memberi faktor kesegeraan yang tertentu kepada pihak pengurusan untuk meningkatkan buku pesanannya bagi tahun kewangan 2023.

 

"Memandangkan rekod prestasi dan kewangannya yang kukuh, kami cukup optimis terhadap kemampuan MMC untuk menambah buku pesanannya," jelas MIDF Research.

 

Semalam, MMC mengumumkan cadangannya untuk mengambilalih 50% ekuiti Retro Highlands daripada Tradewinds Corporation Berhad dan pinjaman pemegang saham dengan nilai pertimbangan sebanyak RM250 juta.

 

Dengan mengurangkan nilai pinjaman pemegang saham kira-kira RM55 juta, pembelian faedah ekuiti tersebut bernilai RM195 juta.

 

Pengambilalihan tersebut dijangka selesai pada suku ketiga tahun semasa 2021.

 

MIDF Research berkata, pihaknya masih mengekalkan anggaran pendapatan MMC bagi tahun kewangan 2021 seiring jangkaan prestasi syarikat.

 

Dalam pada itu, pihaknya turut mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) pada harga RM1.30 berdasarkan penilaian diskaun 40%.

 

Dalam nota kajian sama, MIDF Research menjangkakan jumlah dan perkhidmatan kontena MMC akan pulih pada tahun kewangan 2021 selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi sebanyak 5.4% pada tahun 2021. - DagangNews.com