Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Syarikat peneraju portal hartanah terkemuka, kumpulan PropertyGuru (PropertyGuru) mengumumkan keputusan syarikat untuk menyertai perjanjian pembelian saham bersama TechnoDex Berhad dan Real Estate Solutions Sdn. Bhd.
Menurut PropertyGuru, penyertaan perjanjian berkenaan adalah untuk mengambil alih sepenuhnya syarikat pembekal data hartanah dalam talian terbesar di Malaysia, MyProperty Data Sdn. Bhd..
"Kumpulan berharap dapat terus mengukuhkan kepemimpinan dan kedudukan portal hartanah terbesar itu dalam pasaran hartanah tempatan menerusi pengambilalihan tersebut.
"Selain menawarkan pilihan hartanah terbanyak dalam talian untuk pengguna Malaysia, PropertyGuru turut memudahkan pelbagai pihak termasuk ejen-ejen hartanah, institusi kewangan, pembeli rumah, agensi penarafan kredit, jurunilai dan pemaju untuk mengakses data-data penting serta kefahaman pasaran hartanah yang lebih komprehensif dan terkini," jelas PropertyGuru dalam satu kenyataan hari ini.
MyProperty Data dapat menawarkan kemudahan analitik data hartanah berteraskan pandangan dan kefahaman pasaran hartanah terkini melalui lebih enam juta rekod data unik yang merangkumi pelbagai aspek seperti jualan, penyewaan, jualan lelong, pembangunan dan geospatial.
Semua data milikan itu dikumpul berdasarkan beberapa faktor utama termasuk demografi, lokasi dan keselesaan.
Kemudahan solusi MyProperty Data kini bukan sahaja digunakan oleh institusi-institusi kewangan utama dan lebih 1,200 jurunilai profesional di Malaysia, bahkan telah disahkan oleh pelbagai agensi dalam sektor hartanah termasuk Persatuan Jurunilai, Pengurus, Ejen dan Perunding Hartanah di sektor swasta dan Institut Ejen-Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).
Ketua Pegawai Teknologi PropertyGuru Group, Manav Kamboj berkata, mandat tersebut diperluas bagi membolehkan pihaknya membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah.
"Kini, kami ingin menawarkan data-data penting secara telus dan kami amat berbesar hati dengan pengambilalihan ini sebagai usaha untuk menyepadukan keseluruhan ekosistem sektor hartanah.
"Keutamaan kami sekarang adalah memperkasakan keupayaan rakyat Malaysia dalam memperoleh data secara telus dan mudah bagi melancarkan setiap proses pencarian hartanah impian mereka.
"Usaha ini penting agar segala transaksi pelaburan hartanah dibuat pada harga pasaran terbaik serta mempunyai potensi kenaikan harga dalam jangka panjang," jelas beliau.
Kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai visi yang sama untuk terus memperjuangkan ketelusan data dalam pasaran hartanah Malaysia menerusi langkah penyelarasan data hartanah.
Sementara itu, Pengarah Urusan MyPropertyData, Joe Hock Thor memberitahu, pengambilalihan itu telah memperluaskan matlamat bersama PropertyGuru iaitu memperkasakan keupayaan rakyat Malaysia dalam memperoleh data transaksi paling tepat agar mereka membuat keputusan yang bijak sebelum membuat pelaburan.
“Ini bukan jalinan kerjasama pertama dengan PropertyGuru. Kerjasama sebelum ini (2018) telah membuahkan laporan Pricing Insight khas PropertyGuru dan pada tahun 2019, kami juga memperkenalkan inisiatif Pra-Kelulusan Pinjaman Perumahan.
"Jadi, keputusan untuk terus bekerjasama dengan PropertyGuru adalah pilihan tepat dan kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada Kumpulan PropertyGuru," ujar beliau lagi. - DagangNews.com