KUALA LUMPUR 2 Mac - Gangguan bekalan global yang berpanjangan dan harga komoditi tinggi berikutan krisis geopolitik terkini boleh menjejaskan aktiviti eksport dan pembuatan Malaysia beberapa bulan akan datang.
MIDF Research bagaimanapun, berkata, secara keseluruhan pengeluar kekal optimistik bahawa pandemik COVID-19 akan berakhir dan permintaan global tempatan kembali meningkat.
"Kami percaya aktiviti pembuatan Malaysia akan mendapat manfaat daripada pemulihan berterusan dalam aktiviti perbelanjaan domestik termasuk permintaan antarabangsa yang meningkat.
"Di sebalik lonjakan kes COVID-19, kami menjangkakan aktiviti pengeluaran dan perniagaan akan diteruskan memandangkan kadar vaksinasi yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Aktiviti pembuatan Malaysia pada Februari 2022 bertambah baik apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan IHS Markit meningkat kepada 50.9 berbanding 50.5 bulan sebelumnya.
Pesanan eksport baharu meningkat lagi berikutan permintaan asing yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) dan barangan perkilangan yang lain.
Sementara itu, Public Investment Bank Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek sektor pembuatan memandangkan isu gangguan bekalan yang masih berterusan.
Menurutnya, situasi itu boleh menjejaskan pengeluaran secara langsung terutamanya untuk peralatan kritikal seperti cip yang digunakan secara meluas dalam hampir semua produk pembuatan daripada kenderaan kepada E&E.
"Ini juga boleh dipengaruhi dengan jangkitan COVID-19 memandangkan peningkatan gelombang Omicron selain daripada kekurangan tenaga kerja yang mungkin mengambil masa untuk diselesaikan," katanya.
Kenanga Research pula berkata, aktiviti pembuatan dijangka berdepan situasi sukar dalam masa terdekat disebabkan beberapa risiko terutamanya krisis Rusia-Ukraine dan lonjakan harga komoditi.
Selain itu, katanya, kes jangkitan COVID-19 yang masih tinggi, masalah kekurangan buruh dan bahan mentah yang masih berterusan serta strategi sifar pandemik China akan terus menjejaskan rantaian bekalan global.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini antara 5.5 hingga 6%, dengan besar kemungkinan, ia akan disemak lebih rendah dalam tempoh terdekat," jelasnya. -DagangNews.com