Penganalisis berhati-hati terhadap prospek IHH bagi Q3 | DagangNews Skip to main content

Penganalisis berhati-hati terhadap prospek IHH bagi Q3

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Di sebalik inisiatif yang dilaksanakan IHH Healthcare Bhd. dalam segmen penjagaan kesihatan digital yang dilihat positif, prestasi kewangannya pada suku ketiga ini pula kurang menyakinkan. 

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Alan Lim Seong Chun berkata, ini disebabkan hasil yang lebih rendah menerusi IHH Laboratory memandangkan ujian COVID-19 juga semakin berkurangan terutama di India. 

 

Katanya, meskipun prestasi suku ketiga akan mencatat penurunan tetapi ia dijangka lebih baik bagi perbandingan tahun ke tahun. 

 

"Ini berdasarkan kepada kes harian COVID-19 di India semakin berkurangan kepada 20,000 kes pada September berbanding 400,000 kes direkodkan pada Mei. 

 

"Sebelum ini, IHH Laboratory menjana sebanyak RM975 juta pada separuh pertama memandangkan India menyumbang kepada jumlah makmal yang tinggi lebih daripada 420 (merangkumi 87% daripada 483 makmal dalam 4 pasaran utama). 

 

"Walaupun jumlah pembedahan elektif mungkin meningkat pada suku ketiga, namun kami menjangkakan angka ini tidak dapat menampung impak daripada pendapatan rendah menerusi ujian makmal," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham IHH dengan nilai saksama tidak berubah pada RM6.29. 

 

Ia menggunakan diskaun aliran tunai (DCF) untuk menilai IHH dengan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 7% dan kadar pertumbuhan terminal sebanyak 3.5%. 

 

Namun, Seong Chun berkata, mereka positif dengan inisiatif kumpulan dalam segmen penjagaan kesihatan digital kerana ia mampu meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pesakit dengan lebih baik.

 

"Sebagai contoh, pesakit hipertensi dapat mengurangkan kekerapan lawatan mereka ke hospital dengan menyerahkan data tekanan darah mereka (dibawa ke rumah) secara berkala ke hospital. 

 

"Jadi, dari segi operasi, doktor dapat menumpukan masa mereka pada kes yang lebih serius," jelasnya.

 

Sementara itu, CGS-CIMB yakin IHH secara amnya telah pun menangani faktor berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan tidak mempunyai isu berkaitan hal tersebut. 

 

Namun, katanya, jika terdapat masalah ESG, ia mungkin disebabkan kurangnya atau tidak konsisten dalam pendedahannya yang disebabkan oleh saiz operasinya yang besar di peringkat global. 

 

"Kami sebenarnya kurang bimbang mengenai keupayaan IHH menyediakan perkhidmatan berkualiti memandangkan tadbir urusnya terbaik dan kedudukan kewangan pula kukuh. 

 

"Tetapi, cabaran sebenar bagi IHH adalah menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mampu milik, dan untuk tujuan ini, kumpulan telah melabur dalam teknologi untuk mengenalpasti dan meramal hasil serta kos rawatan yang lebih baik. 

 

"Oleh itu, kami percaya, impak kos yang lebih tinggi bagi rawatan perubahan kurang membebankan pelanggan IHH, terutama bagi yang kurang sensitif terhadap harga," jelasnya. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham IHH dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM8.21 berbanding RM6.65 memandangkan penilaian pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)/EV (berdasarkan gandaan 19x tidak berubah) bagi tahun kewangan 2023. 

 

Pemangkin penilaian semula bagaimanapun bergantung kepada pemulihan berterusan dengan risiko penurunan pula bergantung jumlah pesakit yang rendah berbanding jangkaan dan intensiti pendapatan yang dilihat akan mengurangkan hasil dan keuntungannya. 

 

Penurunan pendapatan yang ketara menerusi perkhidmatan berkaitan COVID-19 sebelum pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pesakit asing yang kembali, merupakan antara faktor yang turut menjejaskan keuntungan IHH. - DagangNews.com