Penganalisis ekonomi unjur KDNK 2023 berkembang 4 hingga 4.7%, OPR mungkin naik sehingga 3.25% | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ekonomi unjur KDNK 2023 berkembang 4 hingga 4.7%, OPR mungkin naik sehingga 3.25%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Feb - Ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih perlahan tahun ini dipengaruhi ketidaktentuan luaran walaupun mencatat pertumbuhan 8.7% pada 2022, tertinggi dalam tempoh dua dekad. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus berkata, pertumbuhan eksport dijangka menyederhana tahun ini di tengah-tengah permintaan luaran yang lemah. 

 

Namun begitu, katanya, pemulihan sektor pelancongan harus kekal menyokong lebihan akaun semasa Malaysia, yang diunjur berkembang 2.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.

 

"Kami melihat penggunaan swasta masih lemah pada suku keempat di sebalik tekanan kos sara hidup. 

 

"Bagaimanapun, kadar pengangguran semakin menurun dan akan mencecah paras sebelum pandemik pada 3.3% tahun ini. 

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan pembentangan semula Bajet 2023 pada 24 Februari ini akan memberi panduan kepada strategi kerajaan dalam menangani kenaikan kos sara hidup," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Mengambil kira faktor-faktor tersebut, beliau mengunjurkan pertumbuhan KDNK lebih perlahan tahun ini sekitar 4.4% berikutan permintaan luaran dan domestik yang lemah. 

 

Menurutnya, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan seketika kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari lalu mencerminkan nada yang berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan ekonomi. 

 

"Kami menjangkakan BNM mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap kelemahan persekitaran domestik yang semakin meningkat.

 

"Namun, kami menjangkakan bank pusat akan menaikkan dua kali OPR dengan 25 mata asas bagi setiap kenaikan pada separuh kedua, menjadikan kadar ini kepada 3.25% pada akhir Disember 2023," jelasnya. 

 

 

BNM

 

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, bagi 2023, BNM mengulangi bahawa ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri, peningkatan berterusan dalam pasaran buruh dan realisasi projek pelaburan. 

 

Bagaimanapun, risiko terhadap unjuran masih boleh dikaitkan dengan kemerosotan, berpunca daripada kelemahan pertumbuhan global, keadaan kewangan yang lebih ketat, peningkatan semula ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan tahun ini sekitar 4% di sebalik pembukaan semula China yang akan membantu mendorong pemulihan kedatangan pelancong dan memberi sedikit sokongan kepada pertumbuhan eksport. 

 

"Permintaan dalam negeri juga dijangka terus menyokong pertumbuhan, walaupun pada kadar yang lebih sederhana, di tengah-tengah pemulihan beransur-ansur dalam pasaran buruh," katanya.

 

Kenanga Research pula menyemak semula unjuran KDNK bagi 2023 kepada 4.7% daripada 4.3% sebelum ini memandangkan permintaan domestik dijangka kekal kukuh.

 

Ini disokong pengembangan langkah fiskal yang disasarkan, kesan normalisasi pasca COVID-19, pembukaan semula China dan prospek kelembapan ekonomi global mungkin tidak seteruk yang dijangkakan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Firma itu mengulangi pandangan bahawa BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75% sepanjang tahun ini tanpa sebarang kejutan luaran yang tidak dijangka.

 

Jangkaan ini terutamanya disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prospek pertumbuhan yang dipengaruhi kelembapan ekonomi global terutama daripada ekonomi maju dan ketidaktentuan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, yang boleh menjejaskan pemulihan pertumbuhan domestik.

 

"Namun begitu, risiko kenaikan inflasi masih kekal, termasuk sebarang perubahan dasar mengenai subsidi bahan api, yang dijangka menjadi pendekatan yang disasarkan.

 

"Di samping itu, permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan didorong oleh peningkatan dalam ketibaan dan perbelanjaan pelancong serta impak positif pembukaan semula ekonomi China boleh menyebabkan BNM meneruskan kitaran kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3%.

 

"Tetapi, kami melihat kebarangkalian untuk perkara ini berlaku adalah terhad kerana kerajaan mungkin mengambil bahagian dan menggunakan langkah fiskal untuk membendung peningkatan kos sara hidup," ujarnya.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam sidang akhbarnya Jumaat lalu ketika membentangkan prestasi ekonomi pada suku keempat 2022, menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdepan kemelesetan ekonomi tahun ini.

 

Malah, pertumbuhan pada 2023 akan dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pertumbuhan perlahan ekonomi global.

 

Pada suku keempat 2022, ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan sebanyak 7% menjadikan keseluruhan pertumbuhan 2022 pada 8.7%. - DagangNews.com