Penganalisis masih berhati-hati prospek ekonomi | DagangNews Skip to main content

Penganalisis masih berhati-hati prospek ekonomi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Akibat krisis COVID-19, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terburuk sejak krisis ekonomi Asia pada 1998 dengan menguncup 5.6% pada 2020. 

 

Walaupun, ketika ini, negara masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula 13 Januari lalu, tetapi rata-rata penganalisis berpendapat pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka bertambah baik.

 

Namun begitu, tanda tanya sama ada PKP ini akan dilanjutkan atau tidak selepas 18 Februari turut menjadi antara faktor yang akan menjejaskan prospek pertumbuhan seterusnya.

 

Pasaran tempatan yang beroperasi separuh hari sempena cuti Tahun Baru Cina, mengakhiri dagangan pada 1,599.42 mata setelah menokok 2.57 mata. 

 

Ringgit pula ditutup pada RM4.0405/0445 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada penutupan semalam, pada RM4.0420/0460. 

 

Baca : KDNK 2020 terburuk sejak 1998, menguncup 5.6%

 

Baca : 5 petunjuk pertumbuhan 2021

 

Mengulas mengenai prestasi ekonomi negara, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun situasi ekonomi dijangka masih dalam 'mood' berhati-hati berikutan langkah PKP tetapi secara umum, KDNK dijangka lebih baik tahun ini. 

 

Katanya, unjuran positif itu dibuat berikutan suasana ekonomi global yang dijangka menyokong sektor eksport negara serta dibantu oleh dasar ekonomi. 

 

"Ini akan menyuntik lebih banyak dana serta kadar yang faedah rendah dan bakal merancakkan kegiatan ekonomi domestik. 

 

"Keadaan ini sudah tentu akan dipantau dengan rapat oleh para pelabur yang akan diterjemahkan melalui strategi pelaburan mereka," katanya kepada DagangNews.com.

 

Mengenai moratorium pula, menurut beliau, seperti yang dinyatakan sebelum ini, moratorium bersasar merupakan pilihan yang baik kerana ia memberi kesan positif kepada mereka yang betul-betul memerlukan. 

 

Berdasarkan angka yang dikongsi oleh BNM, sejumlah 1.4 juta pemohon bagi bantuan kewangan bersasar yang mana 55% daripadanya adalah penyambungan moratorium dan baki 45% pula dalam bentuk pengurangan bayaran ansuran bulanan.

 

"Dalam hal ini, pihak bank juga dilihat begitu terbuka untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran melunaskan hutang akibat kesan pandemik," katanya.

 

Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research dalam nota kajian mengunjurkan trajektori pertumbuhan akan meningkat pada suku kedua 2021 disokong kesan asas yang rendah, ekonomi global bertambah baik dan normalisasi dalam aktiviti domestik secara berperingkat. 

 

"Tahun ini bermula dengan begitu mencabar terutama PKP diperkenalkan semula dan proklamasi darurat bagi mengekang penularan wabak ini. 

 

"Oleh itu, ia akan menyaksikan satu lagi laluan berliku ke arah pemulihan dalam suku pertama ini dengan kemungkinan satu lagi penguncupan," katanya.  

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini pada 5%, lebih rendah berbanding sasaran kerajaan antara 6.5 hingga 7.5%. 

 

Malah, ia juga menyifatkan harapan untuk berlaku pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) adalah rendah setelah melihat pendirian bank pusat itu yang akan menilai sebarang perkembangan baharu dalam persekitaran pandemik. 

 

"Di sebalik kelemahan KDNK dan lanjutan PKP 2.0, kami berpendapat BNM menantikan jangkaan pemulihan pada suku kedua dan seterusnya," katanya. 

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini, OPR semasa sudah memadai untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara setelah ia dikurangkan sebanyak 125 mata asas atau 1.25% kepada 1.75%.

 

Beliau menyifatkan pengurangan itu akan terus menyediakan rangsangan kepada ekonomi untuk tahun ini yang mana Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM beranggapan dasar monetari itu adalah sudah memadai dan akomodatif. - DagangNews.com