Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov - Perdagangan Malaysia dijangka mempamerkan prestasi yang lebih baik bagi bulan seterusnya meskipun penganalisis mengambil langkah berhati-hati terhadap lonjakan semula jangkitan COVID-19 di beberapa negara.
Ini berdasarkan kepada prestasi dagangan pada Oktober yang berkembang 26.5% kepada RM202.61 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat kali pertama.
Malah, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, perdagangan meningkat 23.5% kepada RM1.805 trilion berbanding tempoh sama bagi 2020.
Ia turut menyaksikan eksport melepasi paras RM1 trilion hanya dalam tempoh 10 bulan, naik 25% kepada RM1.004 trilion, melebihi jumlah keseluruhan eksport tahun sebelumnya.
MIDF Research berkata, peningkatan ini kemungkinan mencerminkan keseluruhan eksport yang akan menunjukkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan.
Katanya, ini akan dipacu oleh permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berasaskan komoditi terutama minyak sawit dan petroleum yang turut dipengaruhi harga komoditi tinggi.
Di sebalik perkembangan menggalakkan ini, firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran bagi pertumbuhan eksport tahun ini sekitar 19.8% berbanding -1.1% pada 2020 manakala import pada 18.9% (berbanding -5.8% pada tahun lalu).
"Kelembapan di China, lonjakan semula jangkitan COVID-19 di beberapa negara ekonomi dan cabaran bekalan yang masih berterusan mungkin akan menjejaskan pertumbuhan eksport pada bulan-bulan akan datang.
"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan berhati-hati tentang kadar pemulihan, walaupun kelonggaran sekatan pergerakan dan peningkatan permintaan terpendam (pent-up demand) mungkin menyumbang kepada aktiviti ekonomi domestik yang lebih kukuh pada suku keempat," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Dagangan Malaysia pada Okt berkembang 26.5%, eksport lepasi paras RM1 trilion dalam tempoh 10 bulan
Sementara itu, AmInvestment Bank Research turut mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap jangkitan COVID-19 dan kekangan rantaian bekalan global.
Katanya, ia akan menjadi risiko penurunan utama yang akan menjejaskan kekuatan pertumbuhan sektor perdagangan Malaysia.
"Namun begitu, kami menjangkakan permintaan luaran akan terus menggalakkan dalam beberapa bulan ini.
"Dalam hal ini, kami menjangkakan eksport akan berkembang sekitar 23 hingga 25% pada tahun ini.
"Antaranya, ia turut dipacu dengan kemasukan 32,000 pekerja asing dapat mengurangkan masalah kekurangan buruh sekali gus membantu syarikat memenuhi permintaan eksport," katanya.
CGS-CIMB pula berkata, lebihan dagangan yang besar sepatutnya memberi petanda baik kepada akaun semasa negara, tetapi ia mungkin tidak mencerminkan sumbangan eksport bersih yang positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar, yang hanya mengambil kira jumlah prestasi.
"Dengan itu, kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan domestik, sebahagiannya akan diimbangi sumbangan negatif daripada eksport bersih, justeru, mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini pada 3.5%," jelasnya. - DagangNews.com