Penganalisis optimis pemulihan ekonomi, jangka tiada sekatan pergerakan berskala besar | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis pemulihan ekonomi, jangka tiada sekatan pergerakan berskala besar

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Momentum pemulihan akan berterusan tahun ini disokong pembukaan semula ekonomi yang akan menyaksikan pertumbuhan aktiviti penggunaan di peringkat domestik. 

 

Ini memberi keyakinan kepada MIDF Research untuk mengunjurkan prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh tahun ini pada 6%. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran KDNK 2021 tidak berubah pada 3.7%. 

 

"Tambahan pula, kami menjangkakan prospek perniagaan yang bertambah baik dan permintaan semakin meningkat akan memacu perniagaan untuk meningkatkan aktiviti pengeluaran dan pelaburan pada tahun depan.

 

"Eksport Malaysia juga akan berkembang disokong pertumbuhan luaran yang meningkat," jelasnya dalam nota kajian. 

 

Negara menunjukkan beberapa indikator pemulihan ekonomi, yang mana Indeks Pelopor (IP) tahunan meningkat 0.3% untuk mencapai 109.5 mata pada Oktober 2021 selepas merekodkan 0.6% pada September 2021, justeru, ekonomi negara dijangka terus pulih dalam masa terdekat.

 

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata 4 hingga 6 bulan ke hadapan.

 

Sementara itu, Malaysia buat kali pertama mencatatkan jumlah dagangan mencecah RM2 trilion, selepas berkembang 24.6% bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Eksport dan import turut mencatatkan pertumbuhan 2 angka masing-masing sebanyak 25.7% kepada RM1.1 trilion dan 23.3% kepada RM894.4 bilion.

 

Lebihan dagangan pula berkembang 36.2% kepada RM221.5 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2020.

 

Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia terus mengukuh kepada 5.5% dengan indeks membuatan memacu pertumbuhan 8% pada Oktober 2021.

 

Pada bulan tersebut juga, pasaran buruh menunjukkan pemulihan apabila kadar pengangguran menurun kepada 4.2%, terendah sejak Mac 2020. 

 

MIDF Research menjangkakan pasaran buruh akan bertambah baik disokong pembukaan ekonomi secara berterusan pada suku keempat. 

 

"Namun, kami mengekalkan kadar pengangguran 2021 pada purata 4.5%," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu berhati-hati dengan prospek ekonomi terutama dengan mengambil kira krisis kesihatan global yang masih berlarutan. 

 

Ia tidak menolak kebimbangan terhadap kemunculan varian baharu COVID-19 boleh mencetuskan semula pelaksanaan kawalan pergerakan yang dilihat boleh menjejaskan prospek pertumbuhan pada 2022. 

 

"Antara risiko pertumbuhan tahun ini termasuklah gangguna dalam rangkaian bekalan global, kadar inflasi tinggi disebabkan kenaikan kos pengeluaran dan harga komoditi yang tinggi.

 

"Selain itu, kelembapan yang lebih ketara di China dan peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan disebabkan pelarasan dalam dasar monetari bank pusat utama juga boleh menjejaskan pertumbuhan tahun ini," jelasnya. 

 

 

bursa

 


Bagaimana dengan pasaran ekuiti tempatan? 

 

Dalam pada itu, AmInvestment Bank Research menggariskan 3 faktor utama yang akan mempengaruhi pasaran ekuiti Malaysia tahun ini. 

 

Menurutnya, daya tahan ekonomi negara adalah kukuh kerana kadar vaksinasi Malaysia setanding dengan negara G7. Pada masa sama, keyakinan pengguna juga kekal tinggi pada tahun ini. 

 

"Kami juga menjangkakan tiada pelaksanaan sekatan pergerakan berskala besar pada tahun ini meskipun varian Omicron menyebabkan peningkatan ketara dalam kes COVID-19. 

 

"Namun, masih banyak data diperlukan sebelum membuat kesimpulan sejauh mana kesan yang dibawa oleh varian ini," katanya. 

 

Firma itu menjangkakan indeks utama FBM KLCI akan berlegar pada paras 1,600 mata menjelang akhir tahun ini. 

 

Bagi 2022, katanya, pendapatan KLCI dijangka susut 3.5% disebabkan anggaran pendapatan lebih rendah menerusi sektor sarung tangan getah dan perladangan. 

 

"Tetapi, di sebalik pertumbuhan pendapatan yang positif daripada sektor perbankan dan minyak dan gas (O&G) pada tahun ini, ia masih tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan dalam sektor sarung tangan getah dan perladangan. 

 

"Kami turut menjangkakan pelaksanaan Cukai Makmur akan mengurangkan pendapatan 2022 bagi kebanyakan saham KLCI," jelas firma itu. - DagangNews.com