Penganalisis optimis prospek pemulihan sektor perbankan  | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis prospek pemulihan sektor perbankan 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 April - Walaupun terdapat cabaran daripada langkah pengekangan pandemik COVID-19 bagi jangka masa pendek, namun penganalisis kekal optimis terhadap prospek pemulihan jangka sederhana untuk sektor perbankan. 

 

Ini akan ditentukan oleh lonjakan semula ekonomi yang kukuh dengan usaha vaksinasi yang masih lagi berjalan, menurut penganalisis di Kenanga Research, Clement Chua.

 

Chua turut mengunjurkan kemerosotan (impairments) dicatatkan bank bagi sepanjang tahun ini akan berkurangan didorong oleh peruntukan awal pada tempoh suku keempat 2020 (4Q20). 

 

“Walaupun prospek jangka pendek kelihatan suram, namun kami percaya sentimen akan menghadapi kesan ‘knee-jerk’ ketika pemulihan ekonomi sedang berjalan dengan baik.

 

“Kami tidak melihat peruntukan lanjut akan membimbangkan kerana kebanyakan bank telah memasukkan lebih awal buku mereka semasa 4Q20. 

 

“Dari segi pilihan saham, kami sukakan Maybank kerana kadar hasil yang mendahului industri, 7% hingga 8% dan tebaran dividen kepada pulangan ekuiti (ROE) yang tinggi berbanding bank-bank lain,” jelas Chua dalam nota kajiannya hari ini.

 

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi separuh kedua 2020 (2H20).

 

“Kami hadir pada taklimat penganalisis BNM untuk Tinjauan Kestabilan Kewangannya bagi 2H20, merasa yakin terhadap pandangan kami mengenai pemulihan yang lebih kukuh pada masa hadapan dan sektor perbankan akan melonjak pada suku-suku tahun yang mendatang,” tambah Chua. 

 

Chua mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor tersebut selain mengunjurkan tiada pemotongan lanjut dalam kadar dasar semalaman (OPR) dan mengalu-alukan sebarang kenaikan bagi tahun ini.

 

“Bagi tahun 2021, BNM menjelaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.0% hingga 7.5% berpatutan, disokong oleh pembukaan semula aktiviti perniagaan tempatan dan kelonggaran sekatan pergerakan secara berperiingkat, permintaan eksport yang melonjak semula, usaha vaksinasi dan sokongan berterusan daripada inisiatif kerajaan untuk merangsang perbelanjaan. 

 

“Secara operasinya, kami percaya bank-bank akan mencatatkan pertumbuhan perolehan lebih tinggi walaupun pertumbuhan KDNK mungkin tidak menggambarkan pertumbuhan pemberian pinjaman yang lebih baik.

 

“Ini akan dipacu oleh kos operasi bank yang kekal rendah setelah melabur dalam digitalisasi dan ukuran tepat pada tahun sebelumnya,” tambah Chua lanjut.

 

Senada itu, penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng turut meletakkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan.

 

“Kami bersetuju dengan pandangan BNM bahawa risiko kredit daripada penularan COVID-19 masih lagi ada pada tahun ini, namun kami percaya ia akan dikurangkan oleh penampan peruntukan yang kukuh oleh bank-bank pada tahun 2020. 

 

“Oleh itu, kami mengunjurkan penurunan 37.7% dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP) bank untuk tahun 2021, di mana merupakan pemangkin bagi ramalan pertumbuhan keuntungan bersih teras ke atas bank sebanyak 5.8% dan menyokong penarafan ‘overweight’ terhadap sektor itu,” kata Ng menerusi nota kajian berbeza. 

 

CGS-CIMB meletakkan Public Bank, Hong Leong Bank dan RHB Bank sebagai tiga saham pilihan mereka. - DagangNews.com