Penganalisis : Pengambilalihan IJM Plantations mampu tingkatkan untung KLK hingga 4% | DagangNews Skip to main content

Penganalisis : Pengambilalihan IJM Plantations mampu tingkatkan untung KLK hingga 4%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pengambilalihan ekuiti IJM Plantations Berhad (IJMP) dijangka dapat meningkatkan keuntungan bersih Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 3% hingga 4%.

 

Penganalisis di AmInvestment Bank, Gan Huey Ling membuat unjuran tersebut berdasarkan pengambilalihan kepentingan sebanyak 56.6% oleh KLK di dalam IJMP. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya KLK akan menstrukturkan semula beberapa pinjaman kasar IJMP yang berjumlah RM697.3 juta memandangkan ia bukan patuh syariah, buat masa ini.

 

“Dalam pada itu, kami juga menjangkakan KLK bakal memperakui operasi IJMP dengan pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) menjelang FY24. 

 

“Sebagai rekod, KLK melengkapkan pengambilalihan saham di dalam IJMP daripada IJM Corporation Berhad bernilai RM1.5 bilion pada awal September 2021. Kami belum mengambil kira pengambilalihan IJMP dalam penyata keuntungan dan kerugian KLK,” jelas  Huey Ling dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Selepas pengambilalihan kepentingan itu, kadar penggearan bersih KLK dijangka masih berada pada tahap ‘selesa’. 

 

Huey Ling mengunjurkan penggearan bersih kumpulan mungkin meningkat kepada sekitar 33% daripada 23.5% setakat FY20 berdasarkan pemegangan saham 56.6%. 

 

Sekiranya KLK menerima 100% bagi tawaran pengambilalihan berwajib ke atas baki saham IJMP yang tidak dimiliknya, penggearan bersih kumpulan dijangka meningkat kepada 44.7%, tambah Huey Ling. 

 

Baca : 11 Oktober 2021, tarikh tutup pemegang saham IJM Plantations terima tawaran KLK

 

AmInvest mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham KLK dengan nilai wajaran pada kadar RM22.22 sesaham. - DagangNews.com