KUALA LUMPUR 26 Okt - Penganalisis positif terhadap cadangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk melupuskan keseluruhan 11% kepentingan dalam GMR Hyderabad International Airport bernilai AS$100 juta (RM478.85 juta).
MAHB bersama anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Pte Ltd telah membuat keputusan strategik untuk melupuskan keseluruhan kepentingan, iaitu sebahagian daripada usaha kumpulan itu untuk menyelaraskan portfolio pelaburan luar negara dan membuka nilai daripada aset bukan terasnya, sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan antarabangsa kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: MAHB lupus semua kepentingan dalam GMR Hyderabad International Airport berharga AS$100 juta
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata lebih lima tahun selepas MAHB mula mencuba untuk menjual 11% kepentingan tersebut pada Februari 2018, kumpulan itu kini mencuba sekali lagi dengan tanda harga lebih tinggi pada AS$100 juta kali ini berbanding AS$76 juta sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata nilai tersirat dalam harga tawaran tersebut kelihatan adil dan meskipun potensi kesannya kepada pendapatan dan penggearan bersih MAHB adalah minimum, firma itu berkata cadangan itu tetap disukai kerana ia secara berperingkat positif untuk MAHB.
Mengulas mengenai kesan cadangan tersebut terhadap kewangan MAHB, Maybank IB menjelaskan bahawa sejak Lapangan Terbang Rajiv Gandhi (RGIA) dibuka pada 23 Mac 2008, MAHB hanya menerima dividen sebanyak AS$6.4 juta (sekitar RM30.7 juta) daripada GHIAL.
“Hasil jualan [kepentingan] boleh membantu MAHB membayar balik nota jangka sederhana (MTN) berjumlah RM600 juta yang perlu dibayar pada 27 Disember 2024 tetapi penjimatan perbelanjaan faedah sebanyak kira-kira RM20 juta setahun (4.15% kadar kupon) menyumbang hanya 2% daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) tahun kewangan 2023 (FY25) kami.
“Namun, kami menganggarkan bahawa hasil itu boleh membantu MAHB mengurangkan penggearan bersihnya daripada 47% setakat akhir suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) kepada 41%,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB menambah bahawa pelupusan itu juga boleh menghasilkan keuntungan sebanyak AS$23.7 juta (RM113.5m atau 7 sen sesaham).
Sementara itu, Kenanga Research yang juga positif terhadap cadangan pelupusan tersebut berkata tiada kebocoran pendapatan memandangkan MAHB tidak mempunyai akaun ekuiti GHIAL.
Bagi tujuan ilustrasi, firma itu berkata kesan pelupusan kepentingan itu ke atas kewangan MAHB adalah ia akan mencatat keuntungan RM114 juta (6.9 sen sesaham).
“Nilai buku MAHB akan meningkat daripada RM4.61 sesaham kepada RM4.68 sesaham setakat 30 Jun 2023. Hasil [penjualan] RM479 juta akan mengurangkan hutang bersih daripada RM3.5 bilion kepada RM3 bilion, dan penggearan bersih daripada 0.45x kepada 0.39x setakat 30 Jun 2023,” tambahnya.
MIDF Research juga positif terhadap cadangan pelupusan itu, di mana ia menganggarkan keuntungan kira-kira AS$23.7 juta (RM113.5 juta) akan direalisasikan, berdasarkan penyata kewangan disatukan MAHB yang telah diaudit untuk FY22 dan dengan andaian cadangan dimuktamadkan pada Disember 2022.
“Namun begitu, keuntungan ini akan dikecualikan daripada pengiraan pendapatan teras kami. Perlu diingat bahawa gabungan kos pelaburan yang dibuat oleh MAHB melalui MAHB (Mauritius) Pte Ltd untuk 11% kepentingan dalam GHIAL berjumlah AS$9.9 juta (RM47.3 juta),” katanya.
Pada pukul 10:34 pagi ini, saham MAHB telah turun 7 sen atau 1% kepada RM7.30 dengan permodalan pasaran sebanyak RM12.2 bilion. - DagangNews.com