Penganalisis semak semula unjuran KDNK  | DagangNews Skip to main content

Penganalisis semak semula unjuran KDNK 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 April - Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 6 hingga 7.5% dilihat sebagai langkah berhati-hati yang diambil oleh bank pusat terhadap perkembangan ekonomi semasa.

 

Sebelum ini, KDNK negara diunjur berkembang antara 6.5 hingga 7.5% tahun ini. 

 

Bank Dunia juga baru-baru ini menyemak semula KDNK kepada 6% berbanding 6.7% manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi negara berkembang 6.5%

 

Bagi penganalisis, langkah BNM merendahkan julat sasaran KDNK mencerminkan wujudnya beberapa risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan.

 

Ini termasuklah langkah-langkah yang diambil bagi mengawal penularan wabak COVID-19, kelewatan dalam garis masa vaksinasi dan mencapai kelompok imuniti, kejutan terhadap bekalan komoditi dan ketidaktentuan pasaran kewangan. 

 

Malah, bank pusat itu juga menjangkakan KDNK suku pertama tahun ini agak terjejas sedikit berbanding suku keempat 2020 akibat pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

Oleh itu, CGS-CIMB menyemak semula unjurannya tahun ini kepada 5.7% berbanding 5% tetapi mengambil pandangan yang lebih berhati-hati berbanding BNM. 

 

"Kami berpandangan kadar vaksinasi dan tingkah laku pengguna pada separuh kedua tahun ini masih tidak menentu berbanding ramalan BNM. 

 

"Tambahan pula, ketidaktentuan rangsangan juga akan berkurangan memandangkan negara beralih kepada sekatan secara bersasar," katanya. 

 

Menurut firma itu, walaupun BNM mencadangkan keseimbangan pendapatan dan pasaran buruh akan pulih tetapi ini mungkin diimbangi oleh kadar pengangguran yang tinggi (unjuran BNM 4-5% tahun ini) dan pengambilan pekerja. 

 

CGS-CIMB juga menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR pada 1.75% tahun ini tetapi jurang output dan pasaran buruh dijangka pulih pada 2022, ia berpendapat sebarang perdebatan mengenai dasar monetari menjadi semakin menarik. 

 

Sementara itu, AmBank Research juga menyemak unjuran KDNK 2021 yang lebih tinggi kepada 5.5 hingga 6% berbanding 5.2 hingga 5.9% sebelum ini. 

 

Ia juga menyemak semula unjuran inflasi kepada 3 hingga 3.5% berbanding 1.8 hingga 2.1% sebelum ini sejejar dengan unjuran BNM yang menyemak semula inflasi antara 2.5 hingga 4%. 

 

BNM juga menjangkakan inflasi akan mencecah paras setinggi 5% pada suku kedua ini.

 

"Di sebalik prospek inflasi pada suku kedua ini, kami melihat BNM mungkin tidak mengubah OPR pada 1.75%. 

 

"Ini kerana kebanyakan tekanan inflasi berpunca daripada kos atau penawaran dan kurang daripada sudut permintaan," katanya. 

 

Malah, AmBank Research juga melihat bayaran upah masih kekal mencabar di sebalik pasaran pekerjaan. 

 

"Melihat kepada prospek inflasi pada separuh kedua 2021, kami percaya OPR akan dikekalkan pada 1.75%. 

 

"Sebarang perubahan hanya akan berlaku pada suku pertama 2022," katanya. 

 

Bagaimanapun, bagi Kenanga Research, BNM masih ada ruang untuk mengurangkan lagi 25 mata asas kadar OPR ini sekiranya jangkitan COVID-19 meningkat semula mengakibatkan PKP terpaksa dilaksanakan semula.

 

"Kami berpendapat inflasi akan meningkat sepanjang tahun ini memandangkan program vaksinasi akan meningkatkan keyakinan pengguna dan merangsang penggunaan pada separuh kedua 2021. 

 

"Tetapi, kami percaya risiko masih kekal ada memandangkan sekatan bagi mencegah penularan COVID-19 masih dilsakanakan dan pasaran buruh pula lemah," katanya. - DagangNews.com