Penganalisis yakin prospek pendapatan Press Metal | DagangNews Skip to main content

Penganalisis yakin prospek pendapatan Press Metal

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Penganalisis optimis dengan prospek pendapatan Press Metal untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

 

Menurut HLIB Research, ia terutamanya disebabkan oleh harga spot aluminium di LME yang dijangka melambung tinggi serta peningkatan progresif projek pengembangan Samalaju Fasa 3 yang akan meningkatkan kapasiti peleburan keseluruhan sebanyak 42% kepada 1.08 juta tan setiap tahun berbanding 760,000 tan sebelumnya.

 

"Selain itu peningkatan pendapatan tambahan dari kilang PT Bintan alumina (Fasa 2) yang disasarkan untuk beroperasi sepenuhnya pada separuh pertama tahun hadapan juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan syarikat," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Firma penganalisis itu menjangkakan menjangkakan kenaikan harga aluminium global yang berterusan dalam 12-18 bulan akan datang dengan pergerakan penyahkarbonan yang diselaraskan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih dan pemulihan pasca wabak di kebanyakan negara.


"Kami membayangkan dunia pada umumnya akan mengalami defisit aluminium pada tahun 2022-2023, di mana permintaan akan melebihi penawaran secara global.


"Ini akhirnya akan menyebabkan penurunan inventori aluminium di London Metal Exchange (LME) sekaligus menaikkan harga spot aluminium," katanya.

 

Tambah HLIB, harga aluminium sehingga kini secara purata berada pada paras AS$2,398 per tan dan kali terakhir dicatat pada harga AS$2,915 per tan. 

 

"Ia telah pulih dengan ketara pada kadar 100% dari paras rendah AS$1,465 per tan pada bulan April 2020," katanya.

 

Untuk itu, HLIB berkata pihaknya mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran RM7.42 sesaham. -DagangNews.com