Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kadar pengangguran negara dijangka menurun kepada 3.8% pada tahun 2021 berbanding 4.5% pada tahun sebelumnya.
MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada ramalan pemulihan pasaran buruh pada separuh kedua 2021.
"Kes COVID-19 yang muncul kembali serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak dapat mempengaruhi pemulihan pasaran buruh buat sementara waktu pada awal 2021.
"Bagi 2021, kami menjangkakan pemulihan pasaran buruh akan berterusan didorong oleh inisiatif kerajaan untuk menyokong pertumbuhan pekerjaan seperti MySTEP, perluasan Program Subsidi Upah (PSU) serta jangkaan pemulihan ekonomi," jelas MIDF Research.
Pada 2019, kadar pengangguran berada pada tahap 3.3% secara keseluruhannya.
Pertumbuhan pekerjaan di sektor perkilangan turun pada kadar yang lebih rendah iaitu -2.0% berbanding tahun lalu pada Disember 2020 susulan pekerjaan pembuataan kekal di bawah tahao tahun sebelumnya.
Dengan peningkatan beransur-ansur setiap bulan, MIDF Research meramalkan trend tersebut akan terus berlanjutan seiring dengan pemulihan sektor pembuatan.
Bagaimanapun, pemulihan mungkin perlahan dalam waktu terdekat susulan peninkatan sekatan pergerakan bagi mengekang virus COVID-19.
Peningkatan secara beransur-ansur dalam pekerjaan pembuatan akan menyumbang kepada pemulihan pasaran pekerjaan keseluruhan tahun 2021.
Semalam, DagangNews.com melaporkan pengangguran bagi suku keempat 2020 meningkat kepada 4.8%.
Peningkatan tersebut menjadikan jumlah penganggur adalah seramai 760,700 berbanding 4.7% pada suku sebelumnya. - DagangNews.com