Pengangguran pada November meningkat, 4.8%  | DagangNews Skip to main content

Pengangguran pada November meningkat, 4.8% 

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kadar pengangguran pada November kembali meningkat kepada 4.8% dengan bilangan penganggur seramai 764,400 berbanding Oktober, 748,200. 

 

Bagi tahun ke tahun, ia meningkat 1.6% dengan bilangan penanggur mencatat tambahan seramai 250,500 orang berbanding November 2019, 513,900.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, November 2020 menyaksikan trend penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

 

Antara lain, katanya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu. 

 

"Dalam masa sama, pada bulan tersebut, perniagaan kecil adalah yang paling terkesan berikutan permintaan yang lebih perlahan. Maka, bilangan tenaga buruh menunjukkan perubahan sedikit pada November," katanya dalam Statistik Utama Tenaga Buruh November 2020 hari ini. 

 

Menurut statistik tersebut, pada November, penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan berjumlah 83.4%, meningkat 2.3% mencatatkan sejumlah 637,700 (Oktober 2020: 623,100).

 

Komposisi terbesar kumpulan ini adalah disumbangkan oleh penganggur yang menganggur kurang daripada 3 bulan dengan 48.8%. 

 

Bagaimanapun, sebanyak 10.4% atau 66,300 berada dalam pengangguran jangka panjang bagi tempoh lebih dari setahun.

 

Pada bulan tersebut, penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan tersedia mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3% kepada 126,700 berbanding 125,100 pada Oktober 2020. 

 

Gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi membendung peningkatan drastik kes COVID-19.

 

Berdasarkan Statistik Kehilangan Pekerjaan (LOE) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), direkodkan 9,086 orang hilang pekerjaan berbanding 7,416 orang yang dicatatkan pada Oktober 2020.

 

Selain itu, Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) melalui MYFuture Jobs, melaporkan bilangan pencari kerja yang lebih tinggi dengan 185,236 (Oktober 2020: 57,733 orang) berbanding 68,555 kekosongan jawatan (Oktober 2020: 98,568 kekosongan) pada November 2020. 

 

Sehingga 18 Disember 2020, dilaporkan bahawa seramai 4,722 orang telah kehilangan pekerjaan, manakala bilangan pencari kerja semakin meningkat dengan 145,466 pencari kerja berbanding hanya 41,638 kekosongan jawatan berdasarkan Perkeso.

 

Tidak terkecuali, pasaran buruh global juga menghadapi cabaran berikutan pandemik COVID-19 apabila semakin menghampiri akhir 2020.

 

Berdasarkan Asia Pacific Employment and Social Outlook (APESO) 2020 oleh International Labour Organization (ILO), dianggarkan sejumlah 81 juta kehilangan pekerjaan berlaku di rantau Asia Pasifik disebabkan oleh pandemik ini. 

 

Bilangan guna tenaga di rantau Asia Pasifik pada 2020 berkurang kepada 1.84 bilion orang dari anggaran bilangan penduduk bekerja sebelum krisis iaitu sebanyak 1.92 bilion orang. 

 

Mohd. Uzir berkata, Malaysia juga tidak terkecuali di mana semasa krisis kadar pengangguran dicatatkan melebihi 4.5% berbanding paras sebelum krisis iaitu di bawah 4%. 

 

Dengan situasi semasa pandemik, PKS adalah merupakan antara golongan yang terjejas dengan hampir 98%  perniagaan berdaftar di negara ini adalah PKS yang menyumbang hampir dua pertiga pekerja dalam sektor swasta.

 

Oleh itu, katanya, dengan pelbagai insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan kepada PKS, ia dapat membantu mengekalkan perniagaan seterusnya dapat mengekalkan pekerja. 

 

Antara inisiatif tersebut ialah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), Kemudahan Teknologi Tinggi - Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA), Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF), Kemudahan untuk Semua Sektor Ekonomi (AES), Kemudahan Agromakanan (AF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) serta Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF). 

 

Menurut beliau, secara keseluruhan, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia serta di negara ini, dijangka bahawa permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020. 

 

Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam keadaan yang mencabar ini. - DagangNews.com