Pengarah Eksekutif GIIB dakwa digantung selepas persoal transaksi | DagangNews Skip to main content

Pengarah Eksekutif GIIB dakwa digantung selepas persoal transaksi

Antara produk keluaran GIIB ialah tayar untuk jentera berat.

KUALA LUMPUR 20 April - Pengarah eksekutif yang digantung GIIB Holdings Bhd (dahulunya Goodway Integrated Industries Bhd), Wong Weng Yew mendakwa penggantungannya berlaku selepas dia membangkitkan persoalan mengenai beberapa transaksi yang didapatinya bersifat mencurigakan.

 

Ini bertentangan dengan dakwaan syarikat melalui pemfailan Bursa Malaysia bertarikh 12 April bahawa penggantungan Wong, 38, adalah untuk memudahkan siasatan terhadap pengurusan dan pengendalian perniagaan sarung tangan dan akaun syarikat itu.

 

"Pengumuman penggantungan saya telah dilaporkan dalam satu kenyataan oleh GIIB kepada Bursa Malaysia pada 11 April.

 

''Ia kemudiannya dilaporkan dalam media pada masa itu dengan butiran yang terhad kepada latar belakang peristiwa dalam beberapa minggu kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan media.

 

“Sejak saya mendedahkan isu transaksi tersebut, pihak pengurusan telah melayan saya dengan cara permusuhan dan penghinaan.”

 

Menurut Laporan Tahunan GIIB 2020, Wong telah dilantik ke jawatan itu pada 23 Feb tahun lepas di mana beliau bertanggungjawab menguruskan operasi kewangan dan perakaunan kumpulan.

 

Sebelum menyertai GIIB, Wong telah berkhidmat dengan PricewaterhouseCoopers LLP di Singapura di mana beliau mengurus dan memberikan khidmat nasihat untuk proses perniagaan, pengauditan IT dan semakan keselamatan. Secara keseluruhan, beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 10 tahun dalam bidang perunding dan pengauditan perniagaan.

 

Kelayakan profesional beliau termasuk akreditasi Akauntan Bertauliah di Malaysia dan Singapura, ahli Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Juruaudit Sistem Maklumat Bertauliah (CISA) dan Juruaudit Dalaman Bertauliah (CIA).

 

Wong juga mendakwa pengerusi eksekutif GIIB Tai Boon Wee telah meminta beliau untuk meluluskan pembayaran tertentu walaupun beliau masih digantung tugas.

 

“Tindakan tidak teratur oleh pengerusi eksekutif ini sepatutnya menjadi perkara yang disiasat oleh jawatankuasa audit dalaman dan badan kawal selia yang berkaitan,” tegas Wong.

 

"Sebenarnya, pada 7 April, saya telah menjawab surat tunjuk sebab itu dengan penjelasan penuh dan bukti sokongan yang menafikan semua dakwaan."

 

Tambah Wong: “Kewajipan fidusiari saya sebagai ED dan penandatangan yang diberi kuasa kekal kepada para pemegang saham. Tindakan ke atas saya hanya mahu  menutup persoalan yang saya bangkitkan mengenai transaksi yang mencurigakan dan memfitnah saya di khalayak umum.”

 

Pada 18 April lalu, GIIB dalam pemfailan di Bursa Malaysia berkata satu jawatankuasa penyiasat tiga anggota telah ditubuhkan untuk membantu syarikat itu menyelia proses siasatan berhubung dakwaan terhadap Wong.

 

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh pengarah bebas bukan eksekutif Yong Wei Sang bersama rakan INED Tee Jun Shern dan Tai Qiyao (pengarah ganti kepada Tai Boon Wee).

 

“Memandangkan jawatankuasa penyiasat hanya ditubuhkan pada 18 April, ia memerlukan lebih masa untuk mendapatkan cadangan daripada firma audit bebas untuk menyiasat perkara di atas,” kata GIIB. – DagangNews.com