Pengaruh media sosial kepada Kualiti Hidup Wanita | DagangNews Skip to main content

Pengaruh media sosial kepada Kualiti Hidup Wanita

Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Dr. Tengku Norbaya Tengku Azhar

PLATFORM digital yang memperkasakan teknologi kini membenarkan media sosial yang meliputi kepelbagaian peranti perhubungan atas talian berkembang dengan tersangat pesat.

 

Walaupun pada mulanya hanya sebagai jaringan sosial namun kini telah menjadi sebahagian daripada norma kehidupan masyarakat, baik untuk kegiatan sosial mahupun ekonomi.

 

Hakikat ini telah membawa perubahan yang drastik kepada kehidupan masyarakat apabila segala maklumat hanya di hujung jari.

 

Medium sesawang digital ini dilihat mempunyai pengaruh yang amat kuat kepada persepsi, pemikiran dan tindak tanduk para pengguna.

 

Melalui akaun media sosial yang dimiliki, segala perihal peribadi seseorang termasuk aktiviti seharian boleh dikongsi dengan pengguna lain.

 

Apa yang nyata, platform ini membenarkan penggunanya mengakses maklumat dan berita dengan sekelip mata melalui perkongsian gambar dan aksi.

 

Seringkali pengguna media sosial menceritakan rutin harian, bertukar-tukar pendapat juga terkini berupaya menjana pendapatan melalui peranti media sosial seperti Instagram & Tik Tok yang sekarang ini menjadi popular.

 

 

parafrasa

 

 

Golongan wanita tidak terkecuali daripada pengaruh media sosial yang kini telah merevolusi cara wanita berinteraksi menembusi jarak, ruang, waktu dan telah mencipta satu budaya tersendiri.

 

Keakraban dengan sesuatu yang nyata kini telah diganti dengan keeratan dengan sesuatu yang tidak nyata. Melalui media sosial kaum wanita dapat lebih bebas mengekspresikan dirinya dan berinteraksi dengan lebih aktif terutama dengan menyalurkan isi hati mahu pun emosi yang dirasakan.

 

Apatah lagi jika yang diajak sharing adalah mereka yang memiliki kesamaan dalam beberapa hal sehingga membuat kaum wanita pada umumnya menjadi merasa selesa sehingga ketagih.

 

SISI GELAP MEDIA SOSIAL

Kemunculan dunia baharu ini juga menimbulkan pelbagai kesan negatif disebabkan penyalahgunaannya. Masyarakat boleh menggunakan medium media sosial sebagai platform menyatakan pandangan dan menzahirkan rasa tidak puas hati melalui perkataan-perkataan yang tidak bermoral, umpamanya seperti pembulian siber, kebebasan bersuara tanpa batas, pengantunan siber dan penyebaran maklumat palsu.

 

Jika perbincangan di fokus kepada kaum wanita, dapat dilihat mereka yang sedang menghadapi trauma seperti masalah kesihatan mental atau fizikal sangat mudah dipengaruhi kerana gangguan dan ketidakseimbangan yang sedang dialami. 

 

Ibu-ibu yang sedang mengandung dan berpantang seringkali sangat terkesan dengan sebaran maklumat di media dan kadangkala cenderung melakukan tindakan di luar kewarasan akal.

 

Kejadian yang dapat dikaitkan seperti post-partum depression sehingga berlaku kes pembunuhan bayi atau bunuh diri juga boleh dikaitkan dengan penyebaran maklumat yang tidak tepat di media sosial. Situasi wanita di fasa ini kebiasaannya merasa rendah diri, merasa gagal menjadi ibu dan isteri yang baik dan mencetuskan kemurungan.

 

 

parafrasa

 

 

Antara lain juga adalah isu perbandingan karier di media sosial yang sinonim dengan wanita di Malaysia. Dari satu perspektif, suri rumah seringkali merasa rendah diri tanpa ruang kebebasan manakala tidak kurang juga bagi wanita bekerja yang merasakan diri tidak punyai waktu bersama keluarga.

 

Keterbukaan di media sosial yang membincangkan peranan wanita di dalam institusi kekeluargaan dan juga pekerjaan seringkali membuka ruang kritikan dan percanggahan pendapat dalam kalangan mereka. Walhal, kedua-duanya mempunyai peranannya yang tersendiri di dalam masyarakat.

 

Provokasi yang menyentuh isu ketaksamaan gender, seringkali mencetuskan polemik di kalangan wanita. Wanita mudah dieksploitasikan media berbanding lelaki dari aspek keganasan dan gangguan seksual di mana program hiburan, dan rancangan televisyen mengeksploitasi wanita sebagai objek seks untuk meraih populariti justeru meningkatkan kejadian jenayah seksual.

 

Di tempat kerja pula, berlaku diskriminasi dalam membahagikan jawatan dan tanggungjawab dalam kalangan wanita. Dalam Satu kajian yang dijalankan oleh Asian Law Students' Association (ALSA) Malaysia pada 2020, 50% wanita di Malaysia berhadapan isu diskriminasi jantina di mana 47% telah ditanya mengenai status perkahwinan ketika temuduga.

 

Manakala 1 daripada 5 wanita dipersoalkan mengenai keupayaan mereka untuk menjalankan tugas-tugas yang tertentu. Isu jangka masa cuti bersalin juga menjadi isu yang hangat diperdebatkan secara umum di media lantas meraih perhatian umum.  

 

Provokasi dalam kalangan masyarakat melalui media mengenai ketaksamaan jantina ini ada kalanya menjadi topik hangat dibincangkan dan diketengahkan, namun kadangkala menjadi punca pergaduhan dalam masyarakat.

 

 

parafrasa

 

 

Isu pengabaian rumah tangga, poligami, penceraian, tanggungjawab pasangan yang sering dipaparkan dan disebarkan di media sosial sedikit sebanyak mempengaruhi wanita dalam kehidupan sehariannya.

 

Sebahagiannya mengambil dari sudut pandang yang negatif lalu mempengaruhi emosi dan persepsi mereka. Ada kalanya  situasi ini mencetuskan perbalahan antara suami isteri atau rakan di tempat kerja yang berlainan jantina.

 

Kadangkala, maklumat yang tidak tepat yang dipaparkan di media sosial sebagai contohnya memberi impak dan imej buruk institusi yang terlibat seperti mahkamah syariah dalam pertikaian rumah tangga.

 

Kita tidak boleh menyekat media sosial dari kehidupan kita kerana ianya telah menjadi sebahagian daripada kita. Namun begitu, sebagai individu yang berfikiran waras dan berakal, maklumat di media yang memaparkan sesuatu keadaan itu sepatutnya tidak terlalu mempengaruhi kita.

 

Tidak semua yang dipamerkan betul dan tidak semua juga salah. Kita sebagai pengguna media sosial sepatutnya lebih bijak dalam memilih sumber maklumat yang sahih dan tidak berkongsi maklumat atau berita yang tidak sahih dan benar.

 

Tidak salah untuk memberikan pendapat atau buah fikiran, tetapi perlulah dilakukan dalam platform yang sesuai dengan bahasa dan cara yang berhemah. Letakkan diri kita sebagai individu yang dikecam dan dikritik supaya kita lebih berfikiran jauh dalam berkata-kata dan menulis.

 

Pemain media massa juga perlulah beretika dalam mengulas sesuatu perkara. Penulisan dan perkongsian yang bersifat provokasi, memalukan dan menyentuh sensitiviti perlulah diolah dengan berhemah dan bijaksana supaya manfaat yang diperoleh lebih dari kemudaratan. – DagangNews.com

 

Dr. Marziah Mokhtar & Dr. Tengku Norbaya Tengku Azhar adalah Pensyarah Kanan,  Pusat Asasi Kampus Dengkil, Universiti Teknologi MARA.