Pengasas BloomThis raih Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang ASEAN 2022 | DagangNews Skip to main content

Pengasas BloomThis raih Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang ASEAN 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt - Pemilik perniagaan cenderahati dan kedai bunga BloomThis, Penny Choo menerima Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang ASEAN 2022 daripada Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) bersempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Wanita ASEAN 2022 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 30 September 2022.

 

Anugerah AWEN 2022 bertujuan untuk menghargai usahawan-usahawan wanita dalam negara-negara anggota ASEAN yang memberikan sumbangan besar kepada industri masing-masing dan bertujuan merancakkan penglibatan wanita dalam semua peringkat aktiviti ekonomi. 

 

Majlis tersebut menghimpunkan penerima-penerima anugerah daripada sepuluh negara anggota rantau ASEAN bagi mengiktiraf pencapaian mereka dengan sewajarnya.

 

Penny berkata, dia amat berbesar hati menerima anugerah itu, kerana ia mengiktiraf kerja keras dan kesungguhannya selama ini. 

 

"Saya pasti setiap usahawan wanita dapat menyelami keperitan yang dirasai pada setiap hari hanya untuk memastikan perniagaan mereka bertahan. 

 

"Saya sendiri berdepan cabaran yang sama dan bersyukur atas semua perkara yang saya pelajari selama ini sehingga saya berada di sini pada hari ini, berdiri sama tinggi bersama penerima-penerima anugerah lain yang juga sedang mengecapi hasil usaha mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi Penny, BloomThis bermula secara kecil-kecilan apabila syarikat itu ditubuhkan pada April 2015, dengan hanya dua pekerja iaitu dia dan suaminya, Giden Lim, yang beroperasi dari rumah mereka. 

 

 

penny
Penny Choo menerima Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang ASEAN 2022 daripada Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Wanita ASEAN 2022 di Jakarta, Indonesia.

 

 

Dengan keazaman dan kerja keras yang berterusan, mereka berjaya mempelopori konsep langganan bunga, satu bentuk khidmat penghantaran gubahan bunga segar kepada pelanggan secara mingguan.

 

Pada masa ini, BloomThis beroperasi di sebuah kilang berkeluasan lebih 40,000 kaki persegi dan mencipta nama sebagai peneraju pasaran dalam pemberian bunga secara dalam talian di seluruh negara, dengan operasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Singapura.

 

Walaupun BloomThis masih menawarkan khidmat langganan bunga, ia kini turut meluaskan penawaran produknya kepada jualan kek, aiskrim, bakul hadiah dan pelbagai cenderahati berdasarkan permintaan yang menjadi teras utama operasi perniagaan. 

 

Pengiktirafan pada peringkat serantau yang diterima Penny pada hari ini menjadi satu lagi peristiwa penting dalam kerjayanya sekali gus mengukuhkan kedudukan BloomThis dalam pasaran. - DagangNews.com