Pengasas RHB Bank, Tan Sri Rashid Hussain diumum sebagai pengerusi baharu Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Pengasas RHB Bank, Tan Sri Rashid Hussain diumum sebagai pengerusi baharu Tabung Haji

Tan Sri Abdul Rashid Hussain
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Lembaga Tabung Haji (TH) melantik Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai pengerusi baharu, berkuat kuasa pada 20 Disember 2023. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan itu dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati dan berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan yang mana beliau mengasaskan Kumpulan RHB, salah sebuah kumpulan perbankan terbesar negara. 

 

"Kami yakin usaha untuk memperkukuhkan TH akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan belia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Syed Hamadah berkata, pelantikan Abdul Rashid juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji.

 

Abdul Rashid adalah pengasas Kumpulan RHB yang mana beliau menubuhkan syarikat broker saham Rashid Hussain Securities Sdn Bhd pada 1983 dan seterusnya mengembangkannya menjadi salah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu terbesar di Malaysia.

 

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari 1994 hingga 1998. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga 2000.

 

Abdul Rashid juga di antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Tabung Haji. 

 

 

th

 

 

Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Bagi Menyiasat Isu Pengurusan Dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari 2014 Hingga 2020 telah dipersembahkan kepada Agong dan kerajaan.

 

Abdul Rashid adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.

 

TH turut berterima kasih kepada Tan Sri Azman Mokhtar sepanjang tempoh kepimpinannya menerajui TH, sejak dilantik sebagai pengerusi pada 20 Disember 2021.

 

Beliau juga berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 November 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir 7% berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022.

 

Abdul Rashid turut berterima kasih kepada pihak kerajaan atas keyakinan dan amanah yang diberikan kepada beliau bagi memimpin institusi Islam yang penting ini, terutamanya untuk terus memperkukuhkan dan memartabatkan TH dalam usaha menggembleng simpanan yang dijamin kerajaan, patuh syariah, dilunaskan zakat bagi pendeposit, dan memudahkan urusan bagi melaksanakan ibadat haji.

 

Tambah beliau, TH juga perlu meneruskan usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan demi kemampanan dan kelestarian masa hadapan. - DagangNews.com