Pengasas Signature Kitchen Michael Chooi kini pemegang saham utama EcoFirst | DagangNews Skip to main content

Pengasas Signature Kitchen Michael Chooi kini pemegang saham utama EcoFirst

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Jan – Pengasas bersama pengilang kabinet dapur Signature International Bhd, Datuk Michael Chooi Yoey Sun muncul sebagai pemegang saham utama syarikat hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd setelah memiliki 5.155% saham syarikat itu hari ini.

 

Dalam pemberitahuan kepada Bursa Malaysia, Chooi mengambil alih 20 juta saham di pasaran terbuka dalam tempoh 14 hari lalu, sebelum menambah lagi 40 juta saham menerusi transaksi luar pasaran menerusi Wawasan Fokus Sdn Bhd.

 

Semasa pasaran ditutup hari ini, saham EcoFirst berada di paras 56 sen sesaham, menjadikan permodalan pasarannya berjumlah RM659 juta. 

 

EcoFirst adalah syarikat hartanah bersaiz pertengahan, yang memiliki simpanan tanah di Lembah Klang, terutama di Ampang, Sungai Besi, Shah Alam dan Damansara Damai.

 

Syarikat itu pada masa ini sedang dalam peringkat pembangunan bagi fasa seterusnya projek utama Ampang Ukay yang bakal menyaksikan pembangunan bercampur dan kediaman berikutan kejayaan penyempurnaan pembangunan Liberty Arc.

 

Projek Ampang Ukay akan terdiri daripada tujuh fasa di kawasan tanah seluar 35.2 hektar (87 ekar) di Ukay Heights dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih daripada RM4 bilion. 

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, EcoFirst telah mengubah fokusnya kepada menjual kediaman yang mampu dimilik oleh kumpulan pertengahan atau M40, sesuai dengan permintaan di dalam segmen ini.

 

Chooi sememangnya dikenali sebagai pengasas bersama Signature Kitchen bersama Tan Kee Choong sejak 1994, di mana mereka membekalkan dan memasang dapur dibina dalam dan sistem almai. Signature International telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 2008.

 

Diiktiraf sebagai pakar jualan dan pemasaran dengan pengalaman hampir 30 tahun, Chooi berjaya mengembangkan Signature Kitchen, yang mana kabinet dapurnya tidak lama lagi akan memasuki projek hartanah mewah. 

 

Signature juga telah berjaya meluaskan pasarannya di peringkat antarabangsa dengan bertapak di 15 pasaran di dunia.


 

Datuk Michael Chooi Yoey Sun
                                                       Datuk Michael Chooi Yoey Sun

 


Selepas 27 tahun bersama Signature, Chooi melepaskan saham majoritinya kepada Chin Hin Group Bhd pada April 2021, dan meletak jawatan sebagai pengarah eksekutif.

 

Chooi kini merupakan pemegang saham utama Scanwolf Corporation Bhd dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.878% saham.

 

Mengulas mengenai kehadiran Chooi di dalam EcoFirst, Pengarah Bergilir syarikat, Dato’ Kenneth Teoh Seng Kian berkata, pihaknya cukup gembira untuk mengalu-alukan kedatangan Datuk Michael Chooi sebagai pemegang saham strategik EcoFirst.

 

''Dengan kepakaran dan rekod prestasi yang terbukti beliau mengembangkan Signature International, kami yakin kepada prospek dan inovasi yang bakal dibawahnya ke dalam EcoFirst,'' kata beliau.

 

Sementara itu, Chooi dalam satu kenyataan juga menzahirkan kegembiraannya menjadi pemegang saham EcoFirst tetapi belum memutuskan sama ada akan meminta kerusi Lembaga Pengarah.

 

“Pertamanya, EcoFirst memiliki pengurusan yang kukuh. Ia telah membolehkan syarikat mencatat keuntungan lebih sedekad lalu walaupun berdepan cabaran-cabaran.

 

''Pengurusan syarikat merupakan pemain sektor hartanah yang cukup cekap dan dikenali dengan elemen sabar. Kesabaran itu membolehkan mereka membeli tanah di kawasan perdana apabila peluang terhidang.

 

''Maka itu, mereka meraih kos tanah yang rendah. Saya berharap untuk menambah nilai kepada syarikat secara perlahan-lahan dan mampan,'' kata Chooi. – DagangNews.com