Pengecualian cukai jualan bantu UMW Holdings atasi sasaran jualan 2020 | DagangNews Skip to main content

Pengecualian cukai jualan bantu UMW Holdings atasi sasaran jualan 2020

UMW Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Pengecualian cukai jualan kenderaan yang diumumkan kerajaan bermula Jun lalu dilihat membantu peningkatan jualan syarikat UMW Holdings Bhd. (UMW Holdings) pada separuh kedua 2020 sekali gus melepasi sasaran jualan pada tahun tersebut.

 

Pencapaian itu turut didorong oleh prestasi jualan kukuh yang dicatatkan UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu 38% iaitu PERODUA.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pemulihan permintaan dalam separuh kedua tahun lalu didorong oleh pengecualian cukai jualan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang memberi manfaat terhadap ekosistem automotif Malaysia.

 

"Kami berasa rendah diri dengan sokongan pelanggan yang memacu prestasi segmen automotif kami pada 2020 di sebalik cabaran yang wujud akibat pandemik COVID-19.

 

"Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan pengecualian cukai jualan, malahan melanjutkannya sehingga 30 Jun 2021 yang akan mempercepatkan pemulihan sektor automotif," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, pengecualian cukai jualan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diperkenalkan sejak 15 Jun lalu dirangka hingga penghujung Disember 2020.

 

Bagaimanapun, pengecualian cukai tersebut terus dilanjutkan lagi hingga 30 Jun 2021 bagi memacu momentum perkembangan sektor automotif negara.

 

UMWT mencatatkan jualan bulanan tertinggi tahun lalu pada Disember dengan jualan sebanyak 9,246 unit kenderaan, menjadikan jumlah jualan sebanyak 59,320 unit pada 2020.

 

Jumlah tersebut melebihi sasaran jualan 53,000 unit bagi 2020 dengan Toyota Vios, Yaris dan Hilux menjadi model jualan terbaik UMWT pada tahun 2020.

 

PERODUA pula berjaya menjual 25,171 unit kenderaan pada Disember 2020, sekali gus merekodkan jualan sebanyak 220,154 unit bagi 2020.

 

Jumlah jualan yang dicatatkan oleh PERODUA itu juga melepasi sasaran jualan sebanyak 210,000 unit pada tahun sama. - DagangNews.com