Pengecualian duti setem di bawah i-Miliki hanya beri impak minimum kepada sektor hartanah | DagangNews Skip to main content

Pengecualian duti setem di bawah i-Miliki hanya beri impak minimum kepada sektor hartanah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama yang diumumkan kerajaan pada Jumaat lalu, hanya memberi impak minimum kepada sektor hartanah memandangkan insentif yang ditawarkan dilihat kurang menarik.

 

Inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia atau i-Miliki itu menawarkan pengecualian duti setem 50 hingga 100% membabitkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama, secara peringkat atau tier harga rumah.

 

Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem sebanyak 100% manakala 
bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50%.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng berkata, inisiatif tersebut adalah positif kepada pemaju tetapi impaknya tidak begitu ketara memandangkan pengecualian duti setem 100% bagi rumah berharga di bawah RM500,000 sudahpun diberikan sebelum ini (sah sehingga Disember 2025). 

 

Selain itu katanya, tidak ada minimum 10% diskaun bagi hartanah kediaman di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE), seperti yang pernah ditawarkan di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 2019 dan 2020/2021.

 

"Skim i-Miliki pula hanya ditawarkan kepada pembeli rumah pertama sahaja (berbanding HOC, memberi liputan yang lebih meluas)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca :Perdana Menteri umum pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman rumah pertama menerusi i-Miliki

 

 

RUMAH

 

 

Ini mendorongnya mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah memandangkan ketidaktentuan seperti kenaikan kadar faedah dan inflasi, akan terus menjejaskan sentimen pembelian.

 

Jelas Siew Teng , faktor-faktor berkenaan akan terus mempengaruhi pertimbangan pembeli sama ada ingin membuat pembelian dengan komitmen yang besar ketika berdepan tempoh mencabar ini.

 

"Tambahan pula harga hartanah yang telah meningkat lebih sekali ganda sejak 2009 walaupun kerajaan memperkenalkan insentif berkenaan.

 

"Kami melihat, kenaikan kadar faedah pada separuh kedua ini, rumah tidak terjual yang masing tinggi dan kos bahan binaan yang tinggi akan terus mempengaruhi sektor hartanah," tambahnya.

 

Sementara itu, penganalisis RHB Investment Bank Research, Loong Kok Wen berkata, impak kepada keseluruhan pasaran hartanah akan menjadi agak minimum meskipun insentif diumumkan kerajaan itu dapat membantu merangsang sedikit permintaan, terutamanya untuk hartanah berharga melebihi RM500,000.

 

Beliau berpendapat, kebimbangan mengenai tekanan makroekonomi, termasuk tekanan inflasi yang meningkat dan kelemahan ringgit, akan menghalang permintaan untuk hartanah dalam tempoh 6 bulan akan datang.

 

"Ditambah dengan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi, ramai bakal pembeli hartanah mungkin akan menahan pembelian mereka dalam tempoh terdekat.

 

"Malah, kami juga dapati terdapat sebahagian pemaju masih menawarkan pengecualian duti setem bagi beberapa produk sebagai kesinambungan daripada HOC bagi merangsang permintaan," katanya yang mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah. - DagangNews.com