KUALA LUMPUR 19 Mac - Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) memberi butiran lanjut mengenai langkah pelepasan tambahan di bawah Program Strategik Pemerkasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 17 Mac lalu.
Dalam kenyataan, SC dan Bursa Malaysia berkata, langkah-langkah ini merangkumi pengecualian selama 12 bulan dan rebat ke atas fi yang berkaitan penyenaraian, akan mengurangkan kos pengumpulan dana bagi syarikat dan menyediakan lebih kelegaan kewangan kepada penerbit tersenarai.
"SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai sekiranya langkah-langkah lebih lanjut diperlukan untuk menyokong penerbit tersenarai sepanjang tempoh yang mencabar ini," katanya hari ini.
Butiran mengenai langkah-langkah ini termasuk –
Pengecualian selama 12 bulan untuk fi berkaitan penyenaraian bagi IPO berkuat kuasa 17 Mac 2021
- Pengecualian 100% ke atas fi pemprosesan, termasuk fi pendaftaran prospektus bagi syarikat yang memohon penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP, serta syarikat yang mempunyai permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta di Pasaran Utama
- Pengecualian 100% ke atas fi awal dan fi penyenaraian tahunan bagi syarikat dengan permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta
- Pengecualian 50% ke atas fi awal dan fi penyenaraian tahunan bagi syarikat dengan permodalan pasaran sebanyak RM500 juta dan ke atas
Rebat sebanyak 50% daripada fi penyenaraian tahunan untuk 2021 bagi penerbit tersenarai yang memenuhi kriteria berikut:
- Permodalan pasaran di bawah RM500 juta setakat 31 Disember 2020
- Melaporkan kerugian kewangan yang dikira dengan kerugian Kumpulan setelah cukai dalam laporan suku tahunan bagi suku tahun yang berakhir pada manamana tarikh antara 1 Februari hingga 30 April 2021 (termasuk tarikh tersebut) walaupun tarikh penyerahannya adalah sama
Pengecualian ke atas fi pemprosesan, semakan dan penyenaraian bagi cadangan regularisasi yang diterima sebelum 31 Disember 2021 untuk :
- Penerbit tersenarai yang telah diklasifikasikan sebagai syarikat PN17/GN3
- Syarikat tunai seperti yang ditetapkan dalam perenggan 8.03 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE
- Syarikat dengan tahap operasi yang tidak mencukupi seperti yang ditetapkan dalam Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE. - DagangNews.com