Pengeluaran buah tandan segar IOI Corporation diunjur meningkat 7% pada FY24, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar IOI Corporation diunjur meningkat 7% pada FY24, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) IOI Corporation Berhad meningkat sebanyak 7% pada FY24 berbanding penyusutan 1.5% pada FY23.

 

Firma penyelidikan itu mengandaikan purata hasil BTS meningkat kepada 19.5 tan bagi setiap hektar pada FY24 berbanding 18.7 tan sehektar pada FY23, disokong oleh jumlah penuai yang lebih tinggi.

 

Firma itu juga percaya bahawa pertumbuhan pengeluaran BTS kumpulan itu akan menjadi positif buat kali pertama pada FY24 sejak kali terakhir mencatatkan peningkatan sebanyak 11.4% pada FY18.

 

"Pengeluaran BTS kumpulan susut kepada purata 5% setahun bermula FY19 hingga FY23 disebabkan kemarau pada suku ketiga 2019 selain kekurangan tenaga kerja dari FY21 hingga FY23.

 

"Disebalik jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan kos baja lebih rendah, kami percaya kos pengeluaran kumpulan akan berkurangan kepada RM2,500 setiap tan pada FY24 berbanding RM2,709 bagi setiap tan pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagi bahagian pembuatan (penapisan dan oleokimia), AmInvestment percaya bahawa permintaan global bagi produk oleokimia bertambah baik pada separuh kedua tahun ini apabila kadar faedah mula menyusut.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pembuatan IOI akan pulih sebanyak 6% pada FY25 selepas susut sebanyak 37.4% pada FY24.

 

Katanya, kumpulan itu membuka kilang oleokimia baharunya di Pulau Pinang pada Julai 2023 dan ia mempunyai kapasiti pengeluaran 110,00 tan setahun, lebih cekap berbanding kilang lama mereka.

 

Kilang itu menghasilkan asid lemak asas dan memenuhi keperluan syarikat di Asia Pasifik dan Eropah. Kadar penggunaan purata bahagian oleokimia kumpulan itu ialah 60%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar RM4.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com