Pengeluaran buah tandan segar lebih rendah, AmInvestment semak turun unjuran untung bersih FY24 TSH Resources sebanyak 3% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar lebih rendah, AmInvestment semak turun unjuran untung bersih FY24 TSH Resources sebanyak 3%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran untung bersih FY24 TSH Resources Berhad sebanyak 3% kesan daripada pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu mengandaikan bahawa pengeluaran BTS kumpulan itu pada FY24 adalah mendatar berbanding pertumbuhan sebanyak 5% sebelum ini.

 

"Kami berpendapat bahawa pengeluaran BTS FY24 kumpulan ini akan terjejas ekoran pelupusan 3,000 hektar hingga 4,000 hektar simpanan tanah di Kalimantan Utara dan kesan cuaca kering di Indonesia pada suku ketiga 2023.

 

"Pelupusan itu kebanyakannya siap antara FY22 dan FY23 kecuali kawasan seluas antara 3,000 hektar hingga 4,000 hektar yang dijangka siap pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, TSH Resources mengambil keputusan menjual kira-kira 13,900 hektar tanah di Kalimantan Utara kepada agensi Indonesia berharga RM731 juta pada FY22.

AmInvestment menganggarkan, kos pengeluaran kilang TSH Resources di Indonesia tidak berubah pada RM1,900 bagi setiap tan pada FY24.

 

Katanya, walaupun kos baja dijangka menurun antara 10% hingga 15% pada FY24, ia akan diimbangi oleh gaji yang lebih tinggi dan ketiadaan pertumbuhan dalam jumlah pengeluaran.

 

"Kos gaji dijangka meningkat antara 3% hingga 5% pada FY24 sejajar dengan kenaikan gaji minimum di Indonesia.

 

"Gaji minimum dijangka meningkat sebanyak 3% di Kalimantan Utara, 5% di Kalimantan Timur dan 3% di Sumatera Barat pada tahun ini," katanya.

 

Kumpulan itu juga merancang menjalankan penanaman baharu seluas 800 hektar hingga 1,000 hektar pokok kelapa sawit di Indonesia pada FY24 dan TSH Resources telah menerima kelulusan daripada Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) bagi penanaman baharu.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan bahawa kumpulan mempunyai bank tanah yang boleh ditanam seluas 8,000 hektar hingga 10,000 hektar di Indonesia.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar RM1.07 berbanding RM1.10 sesaham," katanya.- DagangNews.com