Pengeluaran buah tandan segar lebih tinggi, RHB Investment unjur pendapatan KLK meningkat pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar lebih tinggi, RHB Investment unjur pendapatan KLK meningkat pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - RHB Investment mengunjurkan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencatatkan pendapatan lebih baik pada FY24 didorong pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi serta kos unit yang lebih rendah.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan BTS sebanyak 14% bagi FY24 daripada semua kawasan.

 

Firma penyelidikan itu turut menyemak naik pertumbuhan FY24 kumpulan kepada 9.4% berbanding 8% tetapi mengekalkan pertumbuhan FY25 dan FY26 antara 3% hingga 6%.

 

"Sasaran BTS itu tidak termasuk aset di Indonesia yang diperoleh kumpulan itu baru-baru ini dan ia berkemungkinan meningkat antara 2% hingga 3% lagi.

 

"Selepas mengambil kira pengambilalihan ini dan kawasan baharu antara 8,000 hingga 10,000 hektar yang mencapai kematangan, kami menganggarkan ia masih boleh melihat pertambahan kawasan matang pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, KLK anak syarikat milik penuhnya yang diperbadankan di Singapura, KLK Plantations and Trading Pte. Ltd. bercadang mengambil alih lebih 90% pegangan dalam dua syarikat minyak sawit Indonesia berharga RM276.55 juta.

 

Kumpulan itu memperoleh 92% pegangan dalam PT Satu Sembilan Delapan (SSD) dengan harga RM264.1 juta dan 90% pegangan dalam PT Tekukur Indah (TI) dengan harga RM12.42 juta.

 

RHB Investment juga menjangkakan kos pengeluaran unit FY24 di bawah RM2,000 didorong pengeluaran BTS yang lebih tinggi serta pengurangan kos baja.

 

Firma itu juga mengunjurkan penurunan kos pengeluaran antara 10% hingga 15% pada tahun ini.

 

Sementara itu, segmen pembuatan KLK mencatatkan kerugian pada 4QFY23 disebabkan permintaan yang lemah yang berterusan di Eropah dan kini mereka sedang menstruktur semula operasi mereka di rantau itu dengan menutup kilang oleokimia di Dusseldorf, mengurangkan kapasiti sebanyak 70% kepada 48,000 tan setahun.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM27.25 berbanding RM27.50 sesaham sebelum ini," katanya.

 

Sebelum ini, kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM834.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023 berbanding RM2.16 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Perolehan merosot kepada RM23.64 bilion berbanding RM27.14 bilion bagi tahun kewangan 2022.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 September 2023, keuntungan bersih KLK susut kepada RM116.30 juta daripada RM462.13 juta pada suku sama tahun lalu. - DagangNews.com