Pengeluaran getah asli Januari menurun 8.2% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Januari menurun 8.2%

Getah asli

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac. - Pengeluaran getah asli negara mencatatkan penurunan 8.2% pada Januari 2021 kepada 45,735 tan metrik, berbanding 49,825 tan metrik pada bulan sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, mengikut perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran turut menunjukkan penurunan 31.0%.

 

"Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,125 tan metrik pada Januari 2021, menurun sebanyak 21.8% berbanding 61,547 tan metrik pada Disember 2020.

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 43.4% daripada jumlah eksport pada Januari 2021 diikuti Iran (8.5%), Jerman (5.9%), Turki (5.1%) dan Finland (4.3%).

 

"Sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM4.6 bilion pada Disember 2020, meningkat sebanyak 21.6% kepada RM5.6 bilion pada Januari 2021," jelas beliau dalam laporan perangkaan getah bulanan bagi Januari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan China merupakan antara negara pengimport tertinggi produk sarung tangan getah.

 

Bagi stok getah asli mencatatkan peningkatan pada Januari kepada 278,817 tan metrik berbanding 249,551 tan metrik pada Disember 2020 dengan peningkatan 11.7%.

 

Katanya, harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan penurunan kepada 550.26 sen sekilogram berbanding Disember 2020 (582.79 sen sekilogram).

 

Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M 20) turut menunjukkan penurunan kepada 628.58 sen sekilogram berbanding 628.74 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

 

"Penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Januari 2021 iaitu 47,115 tan metrik, meningkat sebanyak 11.2% berbanding bulan sebelumnya.

 

"Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 35,978 tan metrik atau 76.4% daripada jumlah penggunaan domestik," katanya. - DagangNews.com