Pengeluaran getah asli negara menurun 39.2% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli negara menurun 39.2%

Getah asli

KUALA LUMPUR 16 Julai - Jumlah pengeluaran getah asli negara mencatatkan penurunan 39.2% pada Mei 2020 kepada 21,044 tan berbanding 34,616 tan pada bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan itu melibatkan 52.7% jika dilihat kepada perbandingan tahun ke tahun berbanding tempoh sama  pada tahun sebelumnya.

"Pengeluaran getah asli yang berkurangan itu turut ditampung oleh stok bulan sebelumnya. Situasi ini antara langkah pemulihan yang diambil bagi menangani kekurangan pengeluaran.

"Berdasarkan banci getah bulanan yang dijalankan bagi Mei 2020, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan berkenaan telah memberi kesan terhadap operasi pengeluaran di peringkat pertubuhan yang menjalankan aktiviti memproses getah," jelas kenyataan itu.

Getah asli

Terkini, DOSM memberitahu, stok getah asli juga mencatatkan penurunan pada Mei sebanyak 8.2% kepada 295,146 tan berbanding 321,413 tan pada April 2020.

Dari aspek penggunaan domestik pula mencatatkan peningkatan 10.5% kepada 39,692 tan bagi tempoh sama.

Kenyataan sama turut menunjukkan penurunan kepada jumlah eksport getah asli negara sebanyak 16.8% dengan jumlah 33,780 tan berbanding 40,596 tan pada April.

"Sarung tangan getah masih menjadi barangan eksport utama dengan nilai eksport RM2.13 bilion pada Mei berbanding RM1.98 bilion pada April. 

"Harga purata bagi Lateks Pekat pula merekodkan peningkatan RM4.32 sekilogram berbanding RM4.13 pada April 2020, manakala Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turut meningkat kepada RM4.76 sekilogram berbanding RM4.73 pada tempoh sama.

Hingga kini, negara utama eksport getah asli adalah China (50.4%), Jerman (13.4%), Amerika Syarikat (5.2%) Turki (4.1%) dan Mesir (2.5%). - DagangNews.com