Pengeluaran MSM turun kepada 16.7 juta tan disebabkan pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran MSM turun kepada 16.7 juta tan disebabkan pandemik COVID-19

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Memasuki bulan terakhir tahun ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) yakin eksport minyak sawit mentah (MSM) yang lebih perlahan ke China dan India akan dapat dikurangkan susulan pengeluaran sawit yang lebih rendah berikutan permulaan musim La Nina.

 

HLIB berkata, pihaknya mengekalkan ramalan harga MSM 2021-23 sebanyak RM4,250, RM3,500 dan RM2,900 setiap tan. 

 

"Kami percaya harga MSM akan kekal tinggi dalam tempoh terdekat, di sokong oleh kekangan bekalan dan bermulanya episod La Nina, yang mempunyai peluang dijangka berlanjutan sehingga Februari 2022.

 

" Penurunan harga MSM yang lebih ketara hanya akan berlaku apabila bekalan minyak sayuran (khususnya, minyak sawit dan soya) mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, mungkin menjelang 2Q22, pada pandangan kami," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Firma penganalisis itu mengekalkan pendirian OVERWEIGHT terhadap sektor ini, disokong oleh prospek pendapatan jangka pendek yang baik hasil daripada harga MSM yang tinggi dan penilaian yang membanggakan.

 

Stok simpanan minyak sawit menyusut 1.0% bulan ke bulan kepada 1.82 juta tan pada November, diheret oleh keluaran yang lebih rendah dan eksport yang lebih pada kadar 3.3%.

 

HLIB Research berkata, simpanan stok MSM melepasi anggaran median konsensus Bloomberg sebanyak 1.78 juta tan, kerana eksport yang lebih rendah daripada jangkaan akibat kos penghantaran yang tinggi lebih daripada mengimbangi keluaran yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Pengeluaran MSM turut turun 5.3% MoM kepada 1.63 juta tan pada November 2021 disebabkan kitaran pengeluaran sawit yang lebih rendah secara bermusim bermula. 

 

"Pada asas tahun ke tahun, pengeluaran meningkat sebanyak 9.6%, disebabkan peralihan dalam corak tanaman," katanya, 

 

Menurut HLIB Research lagi, secara kumulatif, pengeluaran turun 6.4% kepada 16.7 juta tan dalam tempoh 11 bulan pertama 2021, diheret terutamanya oleh kekurangan buruh yang timbul daripada penutupan sempadan disebabkan oleh pandemik COVID-19. -DagangNews.com