Pengembara solo Malaysia pilih Singapura, Bangkok dan Hat Yai sebagai destinasi pelancongan popular - kajian Agoda | DagangNews Skip to main content

Pengembara solo Malaysia pilih Singapura, Bangkok dan Hat Yai sebagai destinasi pelancongan popular - kajian Agoda

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Pengembara solo Malaysia memilih Singapura sebagai destinasi pelancongan mereka, selain Bangkok dan Hat Yai di Thailand, menurut kajian Agoda.

 

Menurut platform tempahan pelancongan dalam talian itu, bagi menentukan kegemaran pelancongan secara solo, Agoda melihat destinasi paling popular untuk pelancong solo yang mendaftar masuk pada hujung minggu dan merentasi pelbagai penginapan hotel. 

 

Sekitar Asia Pasifik, tiga teratas terdiri daripada Tokyo, Jepun di tempat pertama, Bangkok, Thailand tempat kedua, dan Seoul, Korea Selatan di tempat ketiga.

 

Pengarah Negara Malaysia dan Brunei Agoda, Cleland Robertson berkata, pihaknya telah banyak menceritakan tentang perjalanan pelancong yang berkeluarga pada tahun ini.

 

"Kini, dengan jumlah perjalanan dalam pemulihan penuh, kami juga melihat lebih banyak perjalanan solo. Pergi secara solo boleh dikatakan hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada diri sendiri. 

 

"Ia bermakna melangkah keluar dari zon selesa sendiri, sama ada meneroka budaya baharu atau mencari kawan baharu, dan seterusnya memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan pengalaman dan kenangan hidup yang paling berkekalan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Singapura menawarkan pengembara solo Malaysia menerokai tempat ikonik seperti Gardens by the Bay, Marina Bay Sands dan Chinatown.

 

Selain itu, Bangkok pula terkenal sebagai salah satu destinasi yang paling mudah diakses di dunia untuk pengembara solo.

 

Manakala, Hat Yai menawarkan kemudahan sambungan kereta api ETS yang mesra bajet dan pelbagai pilihan tawaran makanan halal. 

 

Walaupun ia mungkin tidak berkongsi kemasyhuran rakan-rakan metropolitannya, bandar yang menawan itu menarik pelancong dengan layanan Thai yang menarik, kawasan hijau subur dan pelbagai pengalaman budaya unik.  - DagangNews.com