Pengenalan bahan pertanian aktif baharu akan tingkatkan pendapatan Ancom Nylex bagi FY23-FY25 | DagangNews Skip to main content

Pengenalan bahan pertanian aktif baharu akan tingkatkan pendapatan Ancom Nylex bagi FY23-FY25

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Okt - AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ancom Nylex Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.30 sesaham setelah kumpulan merekodkan hasil tahun ke tahun yang lebih kukuh. 

 

Menurut firma itu, keuntungan bersih teras kumpulan pada suku pertama berakhir 31 Ogos 2022 sebanyak RM20 juta adalah memenuhi jangkaannya, merangkumi 25% daripada keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 (FY23).

 

"Dalam tempoh terdekat, kami percaya Ancom Nylex akan terus mendapat manfaat daripada larangan paraquat di Malaysia, Thailand dan Brazil.

 

"Bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, pengenalan bahan pertanian aktif baharu akan meningkatkan lagi pendapatan kumpulan bagi FY23 hingga FY25," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ancom Nylex merekodkan untung bersih sebanyak RM20 juta pada suku pertama berakhir 31 Ogos 2022 daripada RM9 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM549.8 juta daripada RM404.7 juta disokong terutamanya menerusi segmen kimia perindustrian yang melonjak 32.7% kepada RM343.7 juta. 

 

Dalam tempoh sama, pendapatan segmen sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat dua pertiga daripada RM3.6 juta kepada RM6 juta.

 

Segmen bahan kimia pertanian pula terus mencatatkan pertumbuhan teguh dengan hasil pada suku itu mencecah RM162.3 juta, iaitu peningkatan 40.6% daripada tahun lalu.

 

Dalam dagangan petang ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 2% kepada 98 sen dengan 2.05 juta saham diniagakan. - DagangNews.com