Pengerusi bersama dua anggota lembaga pengarah Jetson letak jawatan secara mengejut | DagangNews Skip to main content

Pengerusi bersama dua anggota lembaga pengarah Jetson letak jawatan secara mengejut

Dato' Tengku Ibrahim Farihaddin (kiri) dan Datuk Mohd Efendi
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Nov - Tidak sampai dua bulan dilantik, Dato' Tengku Ibrahim Farihaddin Dato' Tengku Feissal melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan syarikat penyedia perkhidmatan bagi sektor pembinaan dan perkilangan, Kumpulan Jetson Berhad berkuat kuasa Khamis.

 

Turut melepaskan jawatan ialah Datuk Mohd Efendi Omar sebagai anggota Lembaga Pengarah syarikat, juga mulai Khamis dan Muhammad Badri Mukhtar yang meninggalkan syarikat pada 20 November lalu.

 

Tengku Ibrahim Farihaddin, 48, baharu dilantik sebagai Pengerusi kumpulan dan Mohd Efendi sebagai pengarah bebas bukan eksekutif baharu pada 6 Oktober lalu.

 

Kesemua mereka menyatakan alasan hanya `mencari kepentingan lain di bidang berasingan', dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jetson lantik Tengku Ibrahim Farihaddin pengerusi syarikat, Tunku Nooruddin timbalan pengerusi

 

Pelantikan Tengku Ibrahim Farihaddin sebelum ini, yang merupakan kerabat diraja Kelantan, menurut Jetson, disebabkan Datuk Teh Kian An, 75, pengasas syarikat yang menguasai 6.10% kepentingan telah meletak jawatan Pengerusi Eksekutif atas sebab-sebab kesihatan.


 

Datuk Teh Kian An
     Datuk Teh Kian An

 


Mohd Efendi pula dikaitkan dengan Datuk Johari Ghani, dengan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Operasi di Media Prima Berhad sejak 2020.

 

Tidak dapat dipastikan apakah tindakan Mohd Efendi sebagai mengikut arahan Datuk Jo, setelah usaha menghubungi beliau belum berjaya.  - DagangNews.com