Penggantungan sementara jualan singkat ekuiti tamat 1 Januari 2021 | DagangNews Skip to main content

Penggantungan sementara jualan singkat ekuiti tamat 1 Januari 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) akan menamatkan penggantungan Jualan Singkat yang Dikawal Selia (Regulated Short Selling atau RSS) pada 1 Januari 2021.

 

Kedua-dua organisasi tersebut juga telah menyemak langkah-langkah pengurusan pasaran lain yang diperkenalkan pada tahun 2020 berikutan peningkatan kemudahubahan yang timbul daripada kesan COVID-19. 

 

SC dalam satu kenyataan bersama Bursa Malaysia berkata, keputusan tersebut diambil selepas membuat pertimbangan sewajarnya terhadap keadaan pasaran semasa dan keperluan pasaran yang semakin berkembang.

 

"Penggantungan RSS yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020 akan dipertingkatkan pada 1 Januari 2021 untuk memudahkan pengurusan risiko pelabur dan menggalakkan aktiviti Pinjam Meminjam Sekuriti (Securities Borrowing and
Lending
atau SBL) yang merupakan elemen penting fungsi pasaran modal untuk mempermudahkan produk dan aktiviti penggalakan pasaran.

 

"RSS akan diperkenalkan semula dengan langkah-langkah kawalan yang dipertingkatkan demi memastikan kestabilan dan menjaga keyakinan pelabur," jelas SC dan Bursa Malaysia  dalam satu kenyataan.

 

Langkah-langkah kawalan yang digariskan adalah seperti berikut;

 

  • Had kedudukan singkat kasar harian bagi Sekuriti yang Diluluskan akan dikurangkan buat sementara waktu daripada 3% kepada 2%.
  • Had baharu sebanyak 4% pada kedudukan singkat bersih beragregat RSS akan diperkenalkan.

 

 

Sementara itu, penggantungan sementara ke atas Jualan Singkat Intra Hari (Intraday Short Selling atau IDSS) dan jualan singkat intra hari oleh Pedagang Harian Proprietari (Proprietary Day Traders atau PDT Short Sale) yang akan berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan sehingga 28 Februari 2021. 

 

Berikutan lanjutan Jualan Singkat PDT, pengecualian sementara berkaitan dengan PDT akan dilanjutkan sehingga 28 Februari 2021.

 

Semakan sementara terhadap langkah-langkah pengurusan pasaran sedia ada lain iaitu had harga dinamik dan statik serta pemutus litar pasaran (circuit breaker) pula akan  dilanjutkan sehingga 30 Mei 2021 dan kembali kepada parameter asalnya pada 31 Mei 2021. 

 

Langkah-langkah berkenaan dilaksanakan pada 20 Julai 2020 dan dijadualkan tamat pada 18 Januari 2021.

 

Dalam pada itu, langkah-langkah bantuan dan kelonggaran sementara yang berkaitan dengan pembiayaan margin, yang akan berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

 

"SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan di peringkat global dan domestik, serta mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan langkah-langkah yang wajar demi mendukung pasaran yang adil dan teratur," jelas SC dan Bursa Malaysia lagi. - DagangNews.com