KUALA LUMPUR 1 Mac - Kadar penggunaan peranti Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau MyRFID bagi pembayaran tol meningkat sebanyak 18% sejak diperkenalkan pada 2017, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemilihan teknologi RFID dilihat lebih berkesan berbanding teknologi Infrared yang digunakan bagi peranti SmartTag.
“Jika dibandingkan dengan SmartTag yang menggunakan teknologi Infrared, teknologi ini masih belum terbukti keberkesanannya dalam pelaksanaan sistem laluan terus pelbagai lorong (MLFF) berbanding teknologi RFID yang telah diguna pakai secara meluas oleh negara-negara maju yang telah melaksanakan sistem kutipan tol itu.
“Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) menggunakan pendekatan teknologi RFID dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di semua tol tertutup di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah berkata, pihak Kementerian juga turut meneliti kaedah sistem tol tanpa palang seperti sistem Electronic Road Pricing (ERP) yang diguna pakai di Singapura.
''Namun, atas kekangan kos dan pelaksanaan model perniagaan yang akan membebankan rakyat menyebabkan sistem ini tidak dilaksanakan di Malaysia,'' kata beliau.
Secara keseluruhannya kata beliau, inisiatif pelaksanaan RFID bukanlah suatu perancangan yang drastik namun telah dilaksanakan melalui projek rintis RFID melibatkan plaza tol sistem terbuka di Lembah Klang sejak tahun 2017.
Manakala, pelaksanaan projek rintis RFID bagi Lebuhraya PLUS pula pada peringkat awal bermula pada 1 Januari 2020 hanya melibatkan 10 plaza tol sistem terbuka merangkumi plaza tol antaranya di Jambatan Pulau Pinang, LINKEDUA dan Butterworth – Kulim Expressway (BKE).
Seterusnya, Ujian Rintis Awam RFID bagi Kenderaan Kelas 1 telah dilaksanakan melibatkan 9 plaza tol sistem tertutup yang disiapkan pada Oktober 2021.
Lanjutan daripada projek rintis yang dilaksanakan oleh pihak PLUS tersebut, pelaksanaan RFID telah dilancarkan pada 15 Januari 2022.
''Kementerian Kerja Raya mengambil maklum akan reaksi negatif pengguna lebuh raya berikutan pelaksanaan RFID di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tersebut,'' kata Fadillah. - DagangNews.com