Penggunaan teknologi geospatial Jupem diiktiraf | DagangNews Skip to main content

Penggunaan teknologi geospatial Jupem diiktiraf

 (Dari kiri) - Nor Adillah Abd Rahim dan CS Tan mewakili Esri, manakala Sr Sohaime Rasidi, Brig. Gen. Sr. Dr. Mohd Zambri dan Kol Sr Muhamad Nadzir yang mewakili Jupem.

(Dari kiri) - Nor Adillah Abd Rahim dan CS Tan mewakili Esri, manakala Sr Sohaime Rasidi, Brig. Gen. Sr. Dr. Mohd Zambri dan Kol Sr Muhamad Nadzir yang mewakili Jupem.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Mac. - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) berjaya meraih Anugerah GeoInnovation hasil pendekatan maju menggunakan teknologi geospatial bagi membantu negara menguruskan pandemik COVID-19. 

 

Anugerah berkenaan hanya diberikan kepada organisasi terpilih secara tahunan oleh penyedia solusi geospatial terkemuka, Esri Malaysia.

 

Ia bagi mengiktiraf organisasi terhadap penggunaan teknologi geospatial untuk menangani cabaran dunia sebenar dalam kalangan industri dan masyarakat.

 

Ketua Pengarah Jupem, Datuk Sr Dr. Azhari Mohamed berkata, teknologi geospatial sentiasa menjadi nadi dalam pelbagai inisiatif pihaknya.

 

Azhari Mohamed
Azhari Mohamed

 

"Apabila setiap saat berharga dan risikonya tinggi, agensi barisan hadapan perlu membuat keputusan yang dipacu oleh data masa nyata berwibawa yang tepat, supaya mereka yakin bahawa mereka telah membuat pilihan sebaik mungkin dalam keadaan yang penuh tekanan.

 

"Inilah waktunya projek Defence Geospatial Information Management (DGIM) kami memainkan peranan dengan membantu pihak berkepentingan dengan cepat menggabung, menggambarkan dan paling penting menerima pakai data tersebut daripada pelbagai agensi," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Di sebalik fungsi teras agensi berkenaan dalam bidang ukur kadaster dan pemetaan topografi, teknologi berkenaan telah memperkasakan Jupem dalam memberi sokongan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

 

Sokongan tersebut merangkumi pengurusan krisis dan hal kecemasan negara seperti banjir, tanah runtuh, malah kejadian pencemaran yang membolehkan Jupem menerima pelbagai pengiktirafan industri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Mengulas lanjut, dalam kes COVID-19, DGIM digunakan untuk menyediakan Joint Common Operating Picture (JCOP) dalam usaha untuk memudahkan kerjasama yang lancar bersama pasukan pengurusan krisis COVID-19, MKN.

 

Menurutnya, platform berkenaan antara lain memaparkan bilangan kes wabak harian dan kumulatif di negara ini, fahaman mengenai pengezonan daerah berdasarkan kod warna, dan mengenal pasti kawasan tercemar yang memerlukan proses sanitasi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, C.S. Tan turut mengucapkan tahniah di atas pencapaian Jupem dan mengiktiraf agensi berkenaan atas komitmen berterusan untuk meningkatkan strategi tindak balas kecemasan negara.

 

C.S. Tan
C.S. Tan

 

"Kepimpinan Jupem yang mampu dilaksanakan telah membuktikan bahawa penggunaan teknologi tepat yang disesuaikan dengan keperluan khusus mampu menghasilkan perubahan dalam menyelamatkan nyawa ketika waktu kecemasan negara seperti pandemik,”

 

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Jupem dalam inisiatif utama negara dan kami teruja untuk melihat mereka memperkasakan lebih ramai pembuat keputusan dengan aplikasi inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih meluas," ujarnya lagi. - DagangNews.com