Penggunaan teknologi IR4.0 sepenuhnya dalam perniagaan Malaysia merosot | DagangNews Skip to main content

Penggunaan teknologi IR4.0 sepenuhnya dalam perniagaan Malaysia merosot

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Peratusan syarikat yang telah menggunakan teknologi Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) sepenuhnya menunjukkan penurunan kepada 13% pada 2020 berbanding 16% pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, terdapat sedikit peningkatan terhadap dua lagi tahap pelaksanaan IR4.0, melibatkan peringkat penerapan awal contohnya dalam memulakan langkah pelaksanaan, meningkat daripada 31% pada 2019 kepada 38% pada tahun ini.

 

“Peratusan syarikat yang tidak bersedia atau tidak mengetahui tentang IR4.0 telah mengalami sedikit penurunan,” jelas Monash University Malaysia dalam sebuah kenyataan berhubung dapatan kaji selidik Sentimen Perniagaan Malaysia 2020/2021.

 

Kaji selidik itu merupakan inisiatif bersama antara Monash University Malaysia dan CPA Australia.

 

Dalam edisi kali ini, 600 responden daripada pelbagai industri, lokasi dan saiz perniagaan menyatakan pandangan dan pendapat mereka mengenai persekitaran mereka. 

 

Tambah universiti itu, walaupun kaji selidik berkenaan menunjukkan peningkatan penerapan keseluruhan IR4.0 yang baik, namun terdapat banyak ruang untuk peningkatan bagi adaptasi teknologi berkenaan.

 

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, pembangunan keupayaan bagi IR4.0, program latihan industri dan peningkatan kebolehkerjaan graduan serta kerjasama industri terus menjadi bidang utama yang perlu ditumpukan oleh universiti-universiti bagi menyokong keperluan industri. 

 

“Hasil daripada survei ini terus menunjukkan bahawa terdapat ketidakpadanan yang amat serius melibatkan bekalan dan permintaan kebolehan graduan yang diperlukan bagi mewujudkan dunia masa depan yang dibentuk oleh teknologi IR4.0. 

 

“Pemimpin perniagaan berpendapat bahawa kerjasama yang kukuh antara akademik dan industri akan banyak membantu memenuhi keperluan industri dan mengurangkan pengangguran siswazah di negara ini,” tambah kenyataan itu.

 

Mengulas mengenai kaji selidik berkenaan, Pengarah Platform Global Asia Abad ke-21 (GA21) merangkap Profesor Pendekatan Dasar Awam dan Ekonometrik  di Monash University, Profesor Mahendhiran Nair berkata, kaji selidik itu meneruskan tradisi untuk memahami cabaran perniagaan daripada perspektif pemimpin perniagaan.

 

“Pada masa sama, ia mengenal pasti bagaimana perniagaan bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan pelbagai protokol dan urusan perniagaan yang berubah-ubah dalam menghadapi pandemik COVID-19.

 

“Laporan bagi edisi 2020/2021 mengetengahkan impak pandemik yang tidak sekata; di mana sesetengah sektor menerima impak yang lebih besar berbanding yang lain, dengan PKS mengalami impak paling ketara disebabkan oleh kewangan mereka yang terhad untuk menampung kejutan yang tidak dijangka ini,” katanya. 

 

Sementara itu,Ketua Cawangan Malaysia untuk CPA Australia, Priya Terumalay melihat laporan itu bertindak sebagai rujukan penting kepada agensi kerajaan, media dan lain-lain pihak berkepentingan. - DagangNews.com