KUALA LUMPUR 9 Ogos - Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Jun 2024 yang menguncup -1.3% berbanding bulan sebelumnya mungkin disebabkan kenaikan harga diesel yang mengakibatkan kuasa beli lebih rendah bagi beberapa pengguna, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, pada masa yang sama, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menunjukkan nilai jualan Indeks Perdagangan Distributif (DTI) mencatatkan RM146 bilion pada Jun 2024, dengan pertumbuhan sebanyak 5.4% YoY.
"Pertumbuhan ini disumbangkan oleh semua subsektor, iaitu perdagangan runcit 7.9% YoY, perdagangan borong 4.0% YoY, dan kenderaan bermotor 2.0%. Sementara itu, untuk perbandingan MoM, nilai jualan menurun sebanyak -1.3%.
"Penguncupan mungkin disebabkan oleh kenaikan harga diesel yang mengakibatkan kuasa beli yang lebih rendah bagi beberapa pengguna," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada Mei 2024, jualan perdagangan borong dan runcit bulanan berjumlah RM147.9 billion, lebih tinggi berbanding Jun 2024 sebanyak RM146 billion.
Bermula 10 Jun 2024, kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel di Semenanjung Malaysia yang menyaksikan harga diesel di stesen minyak naik kepada RM3.35 seliter.
ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Jun 2024 naik 5.4% kepada RM146 bilion - DOSM
Dalam pelaksanaan itu, kerajaan menyalurkan bantuan subsidi kepada mereka yang layak menerusi Budi Madani manakala jenis pengangkutan tertentu masih boleh membeli diesel pada kadar subsidi di bawah program SKDS.
Kerajaan berharap penyasaran subsidi diesel ini akan dapat mengurangkan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan, serta ketirisan.
Sementara itu, TA Securities berkata, Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5% YoY dengan mencapai 155.5 mata.
Katanya, peningkatan ini disokong oleh perdagangan runcit sebanyak 6.3%, perdagangan borong sebanyak 3.2%, dan kenderaan bermotor sebanyak 1.2% YoY.
"Dalam perbandingan suku tahunan, DTI mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik sebanyak 4.9% YoY pada 2Q24, berbanding 3.7% pada suku tahun sebelumnya.
"Oleh itu, kami meramalkan sektor perkhidmatan akan berkembang sebanyak 6.3% YoY, berbanding unjuran DOSM sebanyak 5.8%.
"Kami juga percaya perbelanjaan peribadi berada dalam permintaan untuk merekodkan pertumbuhan yang lebih baik mungkin sekitar 6% YoY pada 2Q24, berbanding dengan 4.2% YoY yang diperhatikan pada suku tahun sebelumnya," jelasnya.
TA Securities juga mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) keseluruhan untuk meningkat sebanyak 5.5% YoY pada 2Q24.
"DOSM akan mengeluarkan data rasmi KDNK suku kedua sebenar pada 16 Ogos 2024," ujarnya. - DagangNews.com