Pengunjung harap Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dapat diteruskan kerana banyak beri manfaat | DagangNews Skip to main content

Pengunjung harap Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dapat diteruskan kerana banyak beri manfaat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis - Penganjuran Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diharap dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia dilihat memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.

 

Walaupun berlangsung dalam suasana norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun ia tetap mendapat sambutan meriah daripada orang ramai yang difahamkan sanggup hadir seawal pukul 7 pagi.

 

Tinjaun DagangNews mendapati, rata-rata pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur itu cukup teruja dan gembira kerana berpeluang menghadiri program tersebut yang menawarkan pelbagai maklumat serta peluang pekerjaan serta perniagaan kepada mereka.

 

Seorang pelajar, Syahril Rahimi Sah Rizal, 19, berkata, program berkenaan sangat baik untuk mereka kerana ia berlangsung dalam keadaan teratur dan kebanyakan pameran yang terdapat di sana juga dapat menaikkan semangat kecintaan terhadap negara terutama untuk golongan remaja seperti dirinya.

 

"Saya berharap keadaan COVID-19 ini akan menjadi lebih baik pada masa akan datang supaya program ini dapat diteruskan dengan kehadiran lebih ramai pengunjung.

 

"Saya juga melihat program ini akan menaikkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia selain percaya dengan usaha yang dilakukan kerajaan," katanya.  

 

pelajar
Syahril Rahimi Sah Rizal

 

Seorang lagi pelajar, Nurul Rasyika Mohd. Rizal, 19, mengakui sangat seronok berada di program itu kerana terdapat pelbagai sesi perkongsian diadakan untuk golongan remaja seperti dirinya melibatkan pendidikan, kesihatan mental dan sebagainya.

 

Katanya lagi, pamera daripada agensi kerajaan juga sangat menarik kerana ia dapat memberikan penerangan kepada mereka terhadap peranan sesebuah agensi itu kepada masyarakat.

 

program

 

"Saya sangat seronok kerana sebelum ini ada perkongsian yang dibuat melibatkan cara untuk mengatasi stress dan perkara itu sangat berguna untuk pelajar seperti kami.

 

"Di sini juga ada pameran mengenai IPT (Institut Pengajian Tinggi) dan ia dapat membantu kami dalam menentukan bidang yang ingin kami pelajari," katanya.

 

Sementara itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah itu ditawarkan melalui dua kategori cabutan bertuah iaitu Cabutan Bertuah Perdana dan Cabutan Bertuah Harian.

 

pameran

 

Hadiah utama Proton X50 ditawarkan kepada pengunjung yang berbelanja sebanyak RM300 (terkumpul harian) di gerai pameran dan jualan usahawan di Dewan 4 dan 5. 

 

Keputusan cabutan bagi hadiah utama ini akan diumumkan pada 12 Disember ini manakala Cabutan Bertuah Harian diadakan sebanyak empat sesi dengan tawaran hadiah seperti motosikal dan peralatan elektrik.

 

Pengunjung yang ingin menyertai program ini boleh mendapatkan kupon di kiosk cabutan bertuah yang terletak bersebelahan pentas mini di Dewan 4. - DagangNews.com