Pengusaha batik perkenal lebih banyak rekaan dan promosi sempena pengisytiharan Ahad sebagai hari batik Terengganu | DagangNews Skip to main content

Pengusaha batik perkenal lebih banyak rekaan dan promosi sempena pengisytiharan Ahad sebagai hari batik Terengganu

Norazizah Kassim menunjukkan koleksi rekaan batik terbaru yang dijual di butiknya yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 26 Feb - Pengusaha batik di Terengganu kini giat mengeluarkan pelbagai rekaan baharu dan kempen khas sempena pengisytiharan Ahad sebagai hari batik di Terengganu yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini.

 

Mereka menyambut baik insiatif yang dilakukan kerajaan negeri kerana dapat memartabatkan lagi industri itu sebagai sebahagian warisan berharga di Terengganu.

 

Pemilik Gee Batik Collections, Noorazizah Kassim berkata, beliau dan beberapa rakan pengusaha batik di Terengganu teruja untuk mengeluarkan lebih banyak produk baharu dengan rekaan yang lebih segar sebagai pilihan untuk digayakan pelanggan.

 

Menurutnya, permintaan batik sentiasa ada namun pengeluar perlu kreatif dengan menampilkan corak yang lebih menarik dan gabungan warna ideal untuk memikat hati peminat batik.

 

"Batik perlu berevolusi dengan peredaran zaman agar ia sesuai digayakan pada bila-bila masa dan untuk apa sahaja majlis sama ada keraian atau majlis formal.

 

"Saya dan beberapa rakan mengambil insiatif untuk menambah lebih banyak ilmu dengan mengikuti pelbagai kursus di Kraftangan Malaysia untuk mempelbagaikan produk baharu batik.

 

"Sempena pengisytiharan itu juga, ramai antara kami mengadakan promosi dan kempen khas untuk menggalakkan orang ramai memakai batik di Terengganu setiap hari Ahad," katanya ketika ditemui DagangNews di sini hari ini.

 

 

batik
Wan Noordiran (kanan) bersama beberapa pelanggan Seem Noor Batik, Terengganu.

 

 

Pengumuman Ahad sebagai hari batik Terengganu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris yang bertujuan mempromosikan lagi industri batik tradisi negeri tersebut ke peringkat global.

 

Buat permulaan, pemakaian batik setiap hari Ahad digalakkan kepada penjawat awam sahaja seterusnya kakitangan swasta, usahawan dan golongan yang bekerja sendiri.

 

Bagi Pengarah Urusan Seem Noor Batik, Wan Noordiran Wan Long pula, pengumuman itu adalah satu cabaran positif yang harus disambut pengeluar batik Terengganu untuk meningkatkan produktiviti yang lebih berkualiti di pasaran tempatan dan dunia.

 

 

batik
Hassan Abdullah menunjukkan batik blok asli Terengganu yang dihasilkannya di sebuah bengkel di Batu Rakit, Terengganu.

 

 

"Dalam masa yang sama, kita juga akan terus mendidik masyarakat untuk lebih menghargai batik asli buatan Malaysia berbanding batik dari negara luar yang semakin membanjiri pasaran tempatan ketika ini.

 

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya yakin dengan sesi penerangan berterusan serta pengeluaran produk batik baharu yang lebih memenuhi citarasa pelanggan, mereka akan menghargai keistimewaan batik keluaran Terengganu," katanya.

 

 

batik
Pembuatan batik blok secara tradisional masih dilakukan oleh pengusaha di Terengganu.

 

 

Sementara itu, pengusaha batik blok Terengganu, Hassan Abdullah pula berkata, sebagai individu yang berkecimpung dalam industri itu lebih 30 tahun lalu, setiap kali pengumuman kerajaan mengenai polisi pemakaian batik akan memberi impak positif kepada usahawan yang terlibat.

 

"Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air...justeru sebagai pengeluar batik, saya dan rakan-rakan lain terus komited untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dan menjadi pilihan pengguna," katanya. - DagangNews.com