Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 April - Kenaikan harga ayam standard sebanyak 5% daripada RM7.50 (HRP 2020) kepada RM7.90 (HRP 2021) sepatutnya boleh ditanggung oleh peniaga dan tidak melepaskan kos itu kepada orang ramai.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia kerana rantaian pengedaran ayam tersebut telah menerima keuntungan masing-masing.
"Kenaikan harga kepada RM7.90 ditetapkan setelah mengadakan perbincangan serta mendapat maklum balas daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi di bawahnya.
"Kerajaan juga mengambil kira maklum balas daripada pengeluar, pemborong dan peruncit bagi penetapan harga ini.
"Antara faktor kenaikkan harga ini adalah disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam sejak Januari 2021 iaitu jagung dan soya yang diimport daripada luar negara," jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, kementerian tersebut memberitahu, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat rantaian pengedaran ayam iaitu peringkat ladang, borong dan runcit.
Usaha tersebut adalah untuk mengekang kenaikkan harga ayam yang tinggi seperti yang dilaporkan oleh media massa kebelakangan ini.
Tambah KPDNHEP, penetapan harga ayam tersebut juga dijangka dapat mengurangkan rungutan rakyat berhubung isu kenaikan harga terutamanya bagi ayam yang merupakan sumber protien yang mudah diperoleh.
"Selain itu dimaklumkan kawalan harga ini hanya pada ayam hidup, ayam standard dan ayam super sahaja semasa musim Perayaan Hari Raya Puasa.
"Manakala kepak ayam dikawal semasa musim perayaan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan di Sarawak, Sabah dan Labuan sahaja. Harga bagi bahagian ayam (parts) (yang telah dipotong) tidak dikawal contohnya dada, kaki, paha," ujar KPDNHEP lagi. - DagangNews.com