Peniaga R&R terjejas, PLUS sediakan 4 bantuan tambahan | DagangNews Skip to main content

Peniaga R&R terjejas, PLUS sediakan 4 bantuan tambahan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuat keputusan untuk memberikan bantuan tambahan kepada rakan niaganya di kawasan rehat dan rawat (R&R).

 

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, bantuan tersebut berbentuk pengurangan sewa bulanan selama tiga bulan akan diberikan kepada semua Rakan Niaga dan pengendali perniagaan sementara bermula Ogos hingga Oktober yang akan datang.

 

Jelas beliau, bantuan berkenaan termasuklah pengecualian sewa bulanan untuk semua Rakan Niaga di R&R Gelang Patah (Arah Utara dan Selatan) susulan penutupan sementara sempadan Malaysia-Singapura.

 

"Selain daripada itu, PLUS juga akan melanjutkan pengecualian sewa bulanan selama dua minggu kepada Rakan Niaga yang terjejas berikutan pengumuman kerajaan yang melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.

 

"Pada masa yang sama, PLUS juga sedang meneliti cadangan pembayaran secara berkala serta pengecualian caj bayaran lewat untuk Rakan-Rakan Niaganya. Bantuan yang sama juga akan diberikan kepada pengusaha tempatan di R&R di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Bagi rekod, PLUS telah memberikan bantuan pengurangan sewa sejak 2020 susulan pelaksanaan PKP sebelum ini.

 

Pihaknya juga sentiasa mencari jalan untuk membantu Rakan Niaga melalui pendekatan terbaik walaupun turut berdepan dengan cabaran pandemik.

 

"Kami telah menganjurkan pelbagai program latihan dalam talian dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kebolehan Rakan Niaga mengadaptasi perniagaan mereka demi mendepani cabaran perniagaan yang disebabkan oleh COVID-19.

 

“Pengenalan fungsi “Order Disini” atau fungsi Pra-Pesanan menerusi Aplikasi PLUS telah direka khusus sebagai pemudah cara bagi menggalakkan pembelian atas talian seta pesanan bawa pulang di semua R&R," katanya lagi. - DagangNews.com