KUALA LUMPUR 28 Julai - Inari Amertron Berhad dan D&O Green Technologies Berhad kekal sebagai pilihan utama PublicInvest Research berdasarkan penilaian serta kedudukan mereka dalam bidang masing-masing.
Firma itu meletakkan saranan 'outperform' ke atas kedua-dua syarikat dengan harga sasaran (TP) masing-masing RM4.13 dan RM5.46.
Katanya, Inari bakal menerima manfaat daripada penggunaan 5G yang lebih meluas di seluruh dunia selain kitaran telefo pintar super di Amerika Syarikat (AS) pada suku akan datang.
"D&O Green pula menjangkakan pertumbuhan yang kukuh berikutan peningkatan penguasaan pasaran LED automotif global dan LED pintar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Harga saham Inari Amertron didagangkan naik empat sen atau 1.44% pada RM2.82, diterjemahkan kepada nilai pasaran RM10.46 bilion.
Kaunter itu bagaimanapun jatuh 30.37% setakat ini dan ia kini didagangkan pada nisbah harga pendapatan (PER) sebanyak 25.84 kali, dengan hasil dividen sebanyak 3.65%.
D&O meningkat 2.02% kepada RM4.04, dengan nilainya pada RM5 bilion, tetapi saham itu telah susut nilai 31.76% sejak awal tahun.
Terkesan dengan kenaikan kadar global yang agresif, pelabur telah meninggalkan sektor mahal seperti teknologi sejak kebelakangan ini dan menyebabkan nilaian sektor turun 36% sehingga ini.
"Kami percaya pelabur harus mengambil peluang untuk melihat semula syarikat teknologi dengan kelebihan daya saing dan rekod prestasi yang kukuh,” katanya.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor teknologi. - DagangNews.com