Peningkatan jualan e-dagang AS, 'berita baik' buat Thong Guan Industries | DagangNews Skip to main content

Peningkatan jualan e-dagang AS, 'berita baik' buat Thong Guan Industries

Thong Guan Industries Berhad.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Peningkatan jumlah jualan e-dagang atau jualan dalam talian di Amerika Syarikat (AS) memberi khabar gembira kepada syarikat pengeluar produk pembungkusan plastik terbesar Malaysia dan paling pesat di Asia Pasifik, Thong Guan Industries Berhad.

CGS-CIMB Research berkata, ini karana, peningkatan jualan segmen 'messenger bag' syarikat berkenaan majoritinya mendapat permintaan pasaran AS.

"Permintaan terhadap produk 'messenger bag' majoritinya dilihat dari pasaran AS.

"Perkara ini baik untuk Thong Guan Industries kerana firma penyelidikan data eMarketer turut membuat ramalan peningkatan jualan e-dagang AS kepada 7.8% hingga 18% pada tahun 2020 hingga 2022," kata CGS-CIMB Research.

Segmen messenger bag Thong Guan Industries merupakan produk beg plastik tertutup yang digunakan untuk menyimpan barangan yang dibeli secara dalam talian dengan baik.

Produk tersebut mula dihasilkan pada tahun 2018 dan dimasukkan di bawah segmen beg industri.

Lebih menarik, penjualan messenger bag itu mencatatkan peningkatan dengan baik pada tahun kewangan 2019 hingga berjaya menjadikannya sebagai satu segmen baharu.

Prestasi positif itu sekali gus menyumbang 5% daripada keseluruhan perolehan kumpulan.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap jangkaan pendapatan Thong Guan Industries bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'tambah' saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM6.81. - DagangNews.com