Peningkatan penggunaan AI, perang tarif perdagangan sektor teknologi jadi pemangkin utama prospek Inari pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan penggunaan AI, perang tarif perdagangan sektor teknologi jadi pemangkin utama prospek Inari pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta perang tarif perdagangan dalam sektor teknologi dijangka menjadi pemangkin utama kepada prospek Inari Amertron Bhd pada FY25.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pelancaran telefon pintar berkuasa AI serta peningkatan permintaan peranti optoelektronik jalur lebar tinggi yang digunakan dalam rangkaian pusat data.

  

Katanya, penggunaan peranti itu sangat penting dalam menyokong pasaran AI yang semakin pesat berkembang.

 

"Permintaan yang semakin meningkat untuk peranti optoelektronik jalur lebar tinggi dalam rangkaian pusat data akan meningkatkan lagi prospek kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen frekuensi radio (RF) kumpulan itu dijangka menyumbang antara 59% hingga 63% daripada hasil bagi FY25 dan FY26 serta akan menjadi pemacu utama, mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan yang dicetuskan telefon pintar berkeupayaan AI

.

Katanya, tawaran tukar beli yang menarik berkemungkinan merangsang lagi permintaan pengguna dan mempercepatkan kitaran ini.

 

Kenanga Research berkata, anak syarikatnya, Yiwu Semiconductor International Corporation (YSIC) yang memiliki kilang seluas 500,000 kaki persegi di Yiwu, berada pada kedudukan untuk menerokai pasaran telefon pintar China yang semakin berkembang.

 

Katanya, syarikat itu telah melepasi kelayakan untuk empat produk pembungkusan cip berskala, walaupun pengeluaran volum rendah telah ditangguhkan kepada suku keempat 2024 disebabkan perubahan struktur wafer bagi kecekapan kos.

 

Sementara itu, pensampelan sistem dalam pakej (SiP) telah selesai dan sedang menjalani ujian terakhir.

 

"Inari menyasarkan pendapatan RM600 juta daripada anak syarikatnya di China," katanya.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyemak turun ramalan untung bersih FY25 kumpulan itu sebanyak 15% bagi mencerminkan kesan pemampatan margin disebabkan kos input lebih tinggi berkaitan pengembangan serta pembangunan produk baharu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM4.05 sesaham," katanya.- DagangNews.com