Peningkatan permintaan racun herba alternatif, Ancom Nylex dijangka catat untung lebih baik pada FY24 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Peningkatan permintaan racun herba alternatif, Ancom Nylex dijangka catat untung lebih baik pada FY24 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan Ancom Nylex Berhad mencatatkan hasil dan keuntungan lebih baik pada 2HFY24 berbanding 1HFY24 disokong peningkatan permintaan racun herba alternatif MSMA (monosodium methanearsonate), racun herba alternatif.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan itu bagi FY24 dan FY25 dijangka susut 2% disebabkan penagguhan pengeluaran produk baharu kumpulan.

 

Katanya, keadaan itu akan diimbangi tempahan baharu produk berkaitan MSMA pada Mac 2024 disebabkan lencongan perdagangan daripada pesaingan tunggal kumpulan itu di Israel akibat konflik berterusan Gaza-Israel sejak 7 Oktober 2023.

 

"Penanggguhan pengeluaran Produk T kerana ia masih baharu dan tidak pernah diimport keluar tetapi isu itu telah diselesaikan dan akan mula dihantar keluar untuk pasaran antarabangsa pada akhir Januari ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Syarikat pengeluar bahan kimia tani itu mempunyai dua hingga tiga lagi produk baharu yang dijadualkan untuk dilancarkan pada FY24 hingga FY26.

 

Antara produk baharu itu Produk T yang kini telah ditangguhkan pelancarannya selama enam bulan tetapi bahan kimia input utama akhirnya telah diluluskan oleh kastam, justeru pengeluaran pada skala komersial sepatutnya bermula pada Februari atau Mac 2024.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan bahawa segmen kimia pertanian akan terus mendapat manfaat pada FY24 daripada lencongan perdagangan syarikat multinasional dari China kepada kumpulan itu.

 

Katanya, berlaku peralihan daripada racun herba berpaten mahal kepada versi generik yang lebih murah kesan daripada kelembapan ekonomi global.

 

"Bagaimanapun, serangan di Laut Merah baru-baru ini telah menyebabkan gangguan ketara kepada logistik global, yang membawa kepada lonjakan kadar pengangkutan laut. 

 

"Sebagai contoh, kadar dari Malaysia ke Brazil meningkat antara dua hingga tiga kali ganda setiap kontena 20 kaki, tetapi kumpulan itu boleh melepaskan kos besar logistik yang lebih tinggi itu kepada pelanggan," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.44 sesaham. - DagangNews.com