Penjaja kecil tak perlu mohon kelulusan CIMS | DagangNews Skip to main content

Penjaja kecil tak perlu mohon kelulusan CIMS

Penjaja kecil

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Penjaja kecil di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara tidak perlu untuk mendapatkan kelulusan melalui data perniagaan COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).

 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, ia memadai hanya dengan menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh pihak PBT.

 

"Sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

 

"Kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu.

 

"Keputusan ini adalah berkuatkuasa serta merta dan terpakai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelas KPKT dalam satu kenyataan.

 

Dalam kenyataan sama, KPKT turut mengingatkan agar kesemua penjaja kecil yang diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Terdahulu, kerajaan telah menetapkan PKP 3.0 yang bermula pada 1 hingga 14 Jun 2021 membenarkan hanya beberapa sektor beroperasi dengan kelulusan melalui CIMS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).- DagangNews.com